Wednesday, July 25, 2012

Duit simpanan lenyap di bank

Duit simpanan lenyap di bank
Chun Hung menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung kehilangan wang tersebut.
MACHANG - Seorang pemuda, Koh Chun Hung, 20, kecewa apabila wang simpanannya sejak dua tahun lalu hilang di bank, baru-baru ini.

Katanya, dia menyimpan wang itu sedikit demi sedikit termasuk duit raya bagi menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Saya ingin mengurangkan beban tanggungan abang jika berjaya menyambung pengajian nanti kerana dia yang menanggung perbelanjaan pelajaran saya sejak ayah meninggal dunia.

“Malangnya semuanya hilang begitu sahaja, mungkin bagi orang lain RM800 itu sedikit namun bagi saya ia besar maknanya.

“Saya berharap sangat dapat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya,” katanya yang menamatkan persekolahan tingkatan enam, tahun lalu.

Chun Hung berkata, laporan polis berkaitan kehilangan tersebut dibuat bagi memastikan perkara yang sama tidak berlaku kepada orang lain.

Katanya, melalui rujukannya kepada pihak bank, wang tersebut dikatakan dipindahkan ke akaun lain pada Selasa dan Rabu lalu melalui perbankan sistem pesanan ringkas (SMS).

“Yang peliknya saya sendiri tidak  pernah mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Saya harap orang ramai lebih berhati-hati memandangkan pelbagai penipuan boleh dilakukan sekarang ini.

“Pada masa yang sama, saya berharap pihak bank juga memastikan perkhidmatan yang disediakan tersebut selamat, sentiasa dikemas kini dan  tidak mudah digodam bagi mengelakkan kejadian hilang wang simpanan seperti ini,” katanya.

Chun Hung berkata, kali terakhir dia mengeluarkan wang pada 30 Jun dan simpanannya masih ada, namun terdapat rekod pemindahan wang melalui SMS tetapi dalam jumlah yang sedikit.

“Melalui penyata yang dikeluarkan pihak bank, pemindahan wang itu dibuat secara sikit demi sedikit terlebih dahulu, mungkin  bagi mengelakkan pemilik menyedarinya dan mungkin juga mereka ingin mencuba sama ada kaedah itu berjaya atau tidak.

“Saya pasti pihak bank mempunyai maklumat mengenai penerima wang pindahan tersebut dan tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan orang lain turut menerima nasib
yang sama,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...