Tuesday, July 3, 2012

Maut dipaksa minum asid


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas menemui ajal selepas dipaksa minum sejenis cecair dipercayai asid oleh sekumpulan penjenayah yang dipercayai konco ceti haram atau along.

Mangsa, Tan Chong Hong, 58, yang berasal dari Taman Pertama, Cheras, di sini, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), jam 3 petang kelmarin.

Sumber polis berkata, pada jam 1 tengah hari Jumaat lalu, mangsa dihantar anak lelakinya ke klinik berdekatan rumahnya kerana mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, selepas mendapat rawatan mangsa berjalan sendirian untuk pulang ke rumah kerana anaknya mempunyai urusan lain.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, empat lelaki menculik mangsa dengan sebuah kereta sebelum dia ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan jam 5 petang keesokan hari.

“Polis masih menyiasat tempat mangsa ditemui kerana setakat ini orang awam yang menghantar mangsa ke PPUKM masih gagal dikesan,” katanya.

Sumber itu berkata, anak lelaki mangsa yang dihubungi pihak hospital pada jam 9 malam Jumaat lalu bergegas ke hospital untuk menemui ayahnya. Menurutnya, mangsa meninggal dunia di PPUKM jam 3 petang kelmarin dan laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan kerosakan organ dalaman di perut akibat tindakan bahan kimia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengesahkan wujud bahan beracun dalam badan mangsa.

“Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

sumber-Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...