Thursday, July 12, 2012

Taktik menyamar tak menjadi

wanita warga asing menyamar
Anggota penguatkuasa sedang memeriksa dokumen pengenalan warga asing yang ditahan.
SENAI – Taktik seorang warga Indonesia menyamar sebagai warga tempatan dengan mengemukakan sijil kelahiran palsu tidak berhasil apabila dia ditahan bersama sembilan lagi warga asing dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Johor di sini, semalam.

Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohamad Nasir Abas bersama 12 anggota penguatkuasa dimulakan dari jam 10 pagi hingga 3.45 petang, semalam.

Operasi dijalankan di tiga lokasi berasingan iaitu kilang membuat perabot di Taman Indah Jaya, medan selera di Saleng dan kedai runcit Bakar Batu.

Mohamad Nasir berkata, seramai 83 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan sepuluh dari mereka yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Serbuan dijalankan hasil dari maklumat disampaikan orang awam, di mana sepuluh warga asing ditahan membabitkan enam warga Indonesia dan empat warga Myammar.

“Enam dari mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas dan permit sah.


“Manakala empat lagi didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa pas dan permit,” katanya.

Selain itu katanya, kesemua yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Pekan Nenas dan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Atipsom 2007 dan Akta Pasport 1960.

Katanya, seorang majikan berusia 30 tahun turut diarah hadir ke pejabat Kementerian Dalam Negeri untuk siasatan lanjut.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...