Saturday, August 25, 2012

Anak hilang selepas keluar beraya

tragedi gadis diculik
Rusly bersama isterinya menunjukkan laporan polis dan gambar Mariam yang hilang sejak 2 Syawal lalu.
KUALA LANGAT - Seorang ibu tidak sangka kain yang dihadiahkan kepada anak perempuannya untuk belajar menjahit baju merupakan pakaian terakhir yang dilihat dipakai sebelum anak gadisnya  menghilangkan diri sejak lima hari lalu.

Mariam Aainaa Rusly, 13, dari Kampung Bukit Changgang dilaporkan menghilangkan diri pada 20 Ogos lalu ketika umat Islam sibuk menyambut hari raya kedua.

Ibunya, Asmawati Amat Jiman, 43, berkata, anaknya keluar rumah jam 10 pagi dengan memaklumkan dia mahu beraya ke rumah rakan.

Menurutnya, dia  yang tidak mengesyaki apa-apa dan hanya membenarkan anak kelima daripada enam beradik itu keluar bersama rakannya yang turut beraya di rumah.

“Saya bimbang kerana dia tidak mempunyai telefon bimbit malah duit raya bernilai RM50 yang diberikan oleh ayahnya ditinggalkan di dalam bilik tetapi hanya berpakaian baju kurung bercorak bunga biru tua yang dijahit sendiri.

“Apabila malam, saya mula risau apabila Mariam masih belum pulang selain percayai dia langsung tidak membawa wang bersamanya dan tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pekan Banting, semalam.

Bapanya, Rusli Abdullah, 47, berkata, dia turut menghubungi dua lagi rakannya yang dimaklumkan turut bersama Mariam ketika keluar dari rumah namun nombor telefon bimbit mereka tidak berjawab.

Katanya, dia bertambah runsing apabila salah seorang rakan Mariam turut memaklumkan anaknya keluar dengan seorang lelaki selepas berjumpa dua rakan perempuannya.

“Sehingga hari ini, telefon rakan-rakan Mariam masih gagal dihubungi dan tidak menerima sebarang jawapan termasuk di peti simpanan pesanan suara,” katanya yang turut membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis KLIA dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Rusly  berkata, dia sudah mencari anaknya di beberapa kawasan berhampiran termasuk Nilai, Putrajaya, Banting, Bagan Lalang tetapi masih gagal ditemui.

Dia yang bekerja sebagai juruelektrik bimbang keselamatan Mariam kerana sebelum ini anaknya tidak menunjukkan perubahan dan semasa hari raya pertama, dia nampak ceria seperti biasa.

“Kami tidak pernah berselisih faham dan saya juga tidak mengetahui sama ada dia mempunyai teman lelaki atau tidak.

“Malah Mariam tidak pernah keluar rumah bersendirian tanpa ditemani ibu atau bapanya,” katanya.

Rusly turut meminta siapa yang terjumpa anaknya segera menghubunginya di talian 017- 6945855 atau datang balai polis berhampiran.

Jurucakap polis IPD Kuala Langat, ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan laporan polis turut dibuat berhubung kes berkenaan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...