Wednesday, August 22, 2012

Dendam kumpulan samseng

Dendam kumpulan samseng
Antara kenderaan penduduk yang sengaja dirosakkan kumpulan samseng berkenaan
PARIT BUNTAR – Tidak padan dengan usia, sekumpulan remaja belasan tahun, di sini dikatakan bertindak berani seperti samseng apabila bertempur di tempat awam menggunakan senjata.

Dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin, dua kumpulan remaja belasan tahun itu dikatakan bergaduh di sebuah kawasan lapang di Taman Semarak, dekat sini menyebabkan dua daripada mereka cedera parah.

Jurucakap polis memaklumkan, pergaduhan berpunca daripada dendam lama antara dua kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan gengsterisme itu juga berlarutan hingga menjadi perbuatan khianat.

Menurutnya, kerana kegilaan bergaduh, beberapa cermin kereta milik penduduk di kawasan berhampiran dipecahkan dengan sengaja.

“Empat kenderaan iaitu tiga daripadanya milik penduduk mengalami kerosakan di bahagian cermin, sementara tiga motosikal milik kumpulan samseng remaja itu dibakar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Dipercayai, kumpulan remaja terbabit sudah sekian lama berdendam sebelum ia merebak kepada pergaduhan besar di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk dikenali sebagai Roslan, 40, berkata, kumpulan remaja tempatan itu bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, tetapi memberi tekanan apabila beberapa kenderaan sengaja dirosakkan mereka.

“Situasi yang berlaku ini menakutkan kami di sini, mereka sudah berani mencederakan dan cuba membunuh, harap polis dapat mengambil tindakan tegas,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...