Thursday, August 2, 2012

Sepasang kekasih ditahan bersama 2.5kg ganja

Pasangan kekasih gelabah diperiksa
Kedua-dua pasangan ini dipercayai mengedar dadah jenis ganja.
KUALA MUDA – Tindakan menggelabah sepasang kekasih semasa ditahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Taman PKNK, Tikam Batu akibat tidak memakai topi keledar akhirnya terbongkar setelah menemui bungkusan kecil dipercayai dadah yang dibawa bersama.

Sepasukan Rela dari Tikam Batu yang melakukan rondaan malam menemui kedua-dua suspek di taman berkenaan yang menunggang motosikal tanpa topi keledar pada jam 9.30 malam.

Penyelia, Low Chow Min berkata, dia memanggil keduadua suspek melihatkan keadaan keduanya yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

“Ketika rondaan dibuat, kami ternampak sepasang kekasih yang berada dalam keadaan mencurigakan lalu memanggil mereka untuk membuat pemeriksaan,” katanya.

Katanya, akibat terkejut dan ketakutan, suspek terus mencampakkan satu bungkus plastik dekat tepi jalan dengan harapan mampu menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan kami mendapati bungkusan kecil itu berisi dadah jenis ganja,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua remaja berusia 20-an itu ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati beberapa bungkusan lagi turut ditemui dalam beg duit.

“Kami menghubungi pihak polis yang kemudian membuat tangkapan ke atas pasangan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, pasangan kekasih itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...