Sara (kiri) ditemani David Chua (dua, kanan) melihat keadaan Sofia (dua, kiri) yang ditinggalkan anggota keluarganya semasa ditemui di Kampung Federal, malam kelmarin. |
BAGAN - Siapa lagi yang mahu diharap oleh seorang anak istimewa yang memegang kad pengenalan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) selain anggota keluarga sendiri.
Namun dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Cantik di sini, dua hari lalu, remaja malang itu, Sofia (bukan nama sebenar) dikatakan telah ditolak keluar dari kereta dipercayai dilakukan oleh anggota keluarganya sendiri.
Sofia, 29, seorang anak tunggal yang mengalami masalah lembam.
Mujur kejadian yang menimpa gadis yang memegang kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu dilihat oleh seorang penduduk kampung.
Saksi kejadian, Sara Che Daud, 54, berkata, dia melihat Sofia terjatuh dipercayai selepas ditolak dari sebuah kereta di jalan masuk ke kampungnya sekitar jam 12.50 tengah hari, Ahad lalu.
Sara ketika itu dalam perjalanan pulang dari menghadiri majlis kenduri.
Menurut Sara, dia kemudian mendekati remaja itu.
"Saya cukup terkejut apabila mendapati wanita yang ditolak keluar dari kereta itu ialah Sofia yang mempunyai pertalian saudara dengan ahli keluarga saya.
“Saya terus menghubungi seorang anggota keluarga untuk mengambilnya,” katanya.
Bimbang sesuatu yang lebih buruk menimpa gadis istimewa itu, mereka kemudian menghubungi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang untuk minta bantuan..
Ditemui di rumah Sara selepas menziarahi Sofia, David berkata, dia telah melihat keadaan gadis itu semalam dan menghubungi JKM Seberang Perai Utara (SPU) bagi tindakan selanjutnya memandangkan Sofia pemegang kad OKU.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah SPU, Abdul Rahim Mohd Aliff berkata, pihaknya akan ambil Sofia untuk ditempatkan sementara di rumah kebajikan terpilih dan berusaha menjejaki ibu kandungnya bagi bantu menyelesaikan kes penjagaannya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment