Tuesday, September 25, 2012

Kemalangan Ayer Keroh 10 kenderaan, 2 maut

Kemalangan Air Keroh
Keadaan kenderaan yang terbabit nahas di lokasi kemalangan, semalam.
AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.

Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah.

Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.

Lori hadapi masalah brek

Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan.

“Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak. Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita.

“Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian.

“Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada  antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Empat jam keluarkan mangsa

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit.

“Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...