Tuesday, September 25, 2012

Mayat disangka tempayan

Mayat disangka tempayan
Anggota polis membawa mayat mangsa ke HT untuk proses bedah siasat, malam kelmarin.
REMBAU – “Walaupun hari hampir gelap, saya nekad meninjau dari tingkap di bahagian dapur rumah jiran saya dengan bantuan lampu picit dan selepas itu, saya terkejut apabila ternampak sekujur kaki di atas lantai rumah."

Demikian cerita Kamariah Abu Bakar, 47, ketika melihat mayat jirannya di Kampung Solok Jelawai, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Kamariah yang mulai berasa tidak sedap hati apabila terpandang tingkap rumah jirannya, Maimon Ismail, 70, terbuka bertindak memanggil anaknya, Nur Farahani Roslan, 12, untuk menemaninya ke rumah jiran yang hanya berjarak kira-kira empat meter.

Menurutnya, dia yang tidak yakin dengan apa dilihatnya itu memanggil seorang lagi jiran untuk melihat keadaan dalam rumah jirannya itu sama ada sekujur kaki yang dilihatnya benar-benar kaki manusia susulan pada awalnya dia menyangka sebuah tempayan.

“Baru tiga atau empat hari lepas akak datang ke rumah Wan Mun dan berbual-bual dengannya. Akak fikir Wan Mun pergi ke rumah anak-anaknya kerana tidak melihat kelibat Wan Mun, namun akhirnya akak menyedari tingkap di bahagian dapur rumahnya terbuka menandakan dia berada di dalam rumah.

“Oleh itu, akak nekad juga pergi meninjau ke rumah Wan Mun dan tidak menyangka perbualan mengenai kedua-dua belah kaki Wan Mun yang membengkak empat hari lepas adalah perbualan terakhir kami,” katanya kepada Sinar Harian  ketika ditemui  di lokasi kejadian, dekat sini, malam kelmarin.

Susulan kes berkenaan, sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah Rembau dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu kerja penyiasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...