Saturday, September 1, 2012

Orang awam serang polis

polis dipukul orang awam
Zakaria (tengah) menunjukkan kesan calar dan lebam di tangan Ammar Rusli (kanan) disaksikan Pegawai Penyiasat IPD Jerantut, Inspektor A. Ramunaidu (kiri) pada sidang media, semalam
BANDAR JERANTUT – Seramai 10 lelaki berusia antara 19 hingga 26 tahun diberkas Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dipercayai menghalang dan memukul seorang anggota polis yang bertugas dalam kejadian di Taman Seri Damak, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Jerantut, Zakaria Kassim berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 11.30 malam pada 27 Ogos lalu melibatkan mangsa yang juga anggota iaitu Lans Koperal Ammar Rusli yang bertugas di Pondok Polis Damak.

Menurutnya, kejadian berlaku berpunca daripada perasaan tidak puas hati kumpulan pemuda dianggarkan 30 orang yang melepak di Taman Sri Damak, diarahkan bersurai oleh anggota terlibat berikutan mereka mengganggu ketenteraman penduduk.

“Anggota yang terlibat menerima aduan daripada penduduk lain, justeru dengan berpakaian preman tampil ke lokasi ahli kumpulan berkumpul lalu memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta mereka semua bersurai.

“Hanya sebahagian sahaja yang bersurai manakala sebahagian lagi bertindak mencabar anggota dengan berkata ‘aku tak hairan langsung dan takut dengan polis, kalau berani datang, kita bertumbuk’,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 Peringkat Daerah Jerantut, di Padang Hoki, semalam.

Zakaria berkata, anggota terlibat terus mencuba menyuraikan ahli kumpulan tersebut, namun ahli kumpulan bertindak agresif dengan memukul dan mengasarinya.

Menurutnya, insiden dikasari itu menyebabkan Lans Koperal Ammar hanya mampu mempertahankan diri sebelum rakan setugasnya tiba untuk meleraikan kejadian itu.

“Kejadian ini menyebabkan anggota kita mengalami cedera ringan di bahagian kaki, tangan, muka, badan dan seterusnya dihantar menerima rawatan dan membuat laporan polis.

“Seramai 10 pemuda ditahan dengan tiga daripada mereka didakwa di bawah Seksyen 353 atas kesalahan menyerang dengan kekerasan bagi menghalang atau menakutkan penjawat awam daripada melakukan kewajipan,” katanya.

Zakaria berkata, suspek turut direman selama empat hari untuk siasatan dan dibebaskan semalam dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 setiap orang sebelum menunggu perbicaraan pada 20 September ini.

Sehubungan itu, Zakaria turut menasihatkan penduduk agar tidak membuat perhimpunan beramai-ramai bermula 12 tengah malam sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam dan disaran bekerjasama dengan polis bagi berkongsi dan melaporkan maklumat.

“Kita harap orang awam bagi kerjasama dan bukannya bertindak mencabar tugas anggota kami yang bertugas sekali gus menyalahi undang-undang keselamatan," katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...