Siti Khatijah melakonkan semula situasi kakaknya yang diikat dan diselubung dengan selimut semasa rompakan berlaku. |
BENTONG - Dua beradik warga emas berdepan saat mencemaskan apabila rumah mereka di Simpang Chamang, dekat sini, dimasuki tiga perompak, kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.
Ketika kejadian, Sainiah Ahmad, 80, sedang menonton televisyen di dalam bilik tidur manakala adiknya, Siti Khatijah Ahmad, 60, sedang berbaring di ruang tamu.
Siti Khatijah berkata, semasa berbaring dia terdengar bunyi bising di bahagian dapur, namun menyangka anak saudaranya datang.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut kerana yang muncul ketika itu ialah tiga lelaki dan dua daripadanya bersenjatakan parang.
“Dua lelaki itu terus masuk ke dalam bilik kakak saya dan mengarahkan kakak menyerahkan barangan berharga.
“Dalam masa sama saya juga turut diminta masuk ke dalam bilik sebelum kami berdua diikat,” katanya kepada Sinar Harian.
Siti Khatijah berkata, tangannya diikat ke belakang dan mulut ditutup dengan plaster, manakala kakaknya pula diikat tangan di bahagian depan dan bahagian kaki kemudian diselubung dengan selimut.
Jerit minta tolong
Selepas kira-kira 15 minit menggeledah bilik tidur, Siti Khatijah berkata, ketiga perompak itu berlalu pergi meninggalkan mereka berdua dalam keadaan terikat di atas katil.
Menurutnya, selepas menyedari keadaan selamat, kakaknya mengambil gunting dan terus mengunting ikatan tali di bahagian tangannya.
“Saya kemudian terus ke ruang tamu menelefon saudara mara terdekat, namun hampa kerana talian telefon sudah diputuskan perompak terbabit.
“Selepas itu saya jerit minta tolong dan nasib baik jiran sebelah dengar,” katanya.
Siti Khatijah berkata, jirannya membantu menghubungi ahli keluarga terdekat dan polis bagi memaklumkan kejadian itu.
Ugut bunuh
Sementara itu, Sainiah berkata, perompak terbabit mengacukan parang beberapa kali ke bahagian dadanya sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya tidak menyerahkan barang berharga.
Katanya, salah seorang perompak sempat memberitahu mereka sudah lama memerhatikan rumahnya.
“Sehingga kini kami berdua masih trauma dengan apa yang berlaku. Kalau ingat kejadian itu saya akan berasa sesak nafas.
“Namun saya bersyukur kerana kami berdua selamat walaupun hilang barang kemas dan sejumlah wang tunai lebih kurang RM2,000 serta sebuah telefon bimbit,” katanya.
Terkejut terima panggilan jiran
Anak Sainiah, Amiruddin Ahmad, 55, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon daripada jiran ibunya memaklumkan kejadian yang berlaku.
Menurutnya, dia bergegas ke rumah ibunya dan mendapati perompak terbabit masuk selepas mengumpil pintu di bahagian tepi rumah.
“Setiap malam, memang rutin harian saya datang menemani emak dan ibu saudara tidur di rumah ini. Namun pada hari ini (malam kelmarin) saya terlewat sedikit,” katanya.
Amiruddin berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana perompak berkenaan seolah-olah sudah membuat pemerhatian sebelum menyamun rumah ibunya.
Polis jalankan siasatan
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan bersenjata.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun yang melawat keluarga mangsa menasihatkan penduduk supaya peka dengan keadaan persekitaran termasuk kehadiran individu mencurigakan di sekitar kawasan rumah.
Menurutnya, masalah kecurian dan pecah rumah biasanya berlaku di luar jangkaan menyebabkan penduduk perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment