Sunday, September 23, 2012

Buruh panik maut jatuh bangunan

Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh
Anggota penguat kuasa melihat Mathoseh yang terjatuh dari tingkat lima Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh kelmarin.
MELAKA - Seorang buruh binaan dari Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri yang didiaminya di Ayer Keroh di sini ketika cuba mengelak serbuan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam kejadian pada pukul 11.50 malam kelmarin.

Dikenali sebagai Mathoseh, 35, mangsa yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan baru 10 bulan berada di negara ini dipercayai panik apabila kediamannya di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh itu diserbu.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, penghuni rumah berkenaan enggan membuka pintu ketika diketuk anggotanya menyebabkan mereka terpaksa memotong mangga dan memecahkan pintu rumah itu untuk melarikan diri.

"Kami bagaimanapun berjaya menahan enam warga asing yang bersembunyi di dalam lubang pada siling namun salah seorang daripada mereka telah terjatuh ke lantai tingkat bawah sebelum berjaya ditahan.

"Mangsa dan keenam-enam lagi warga Indonesia terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Mathoseh dipercayai terlepas genggamannya menyebabkan dia menggelongsor ke tingkat paling bawah.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia setelah dikejarkan ke Hospital Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu mengenai operasi berkenaan, Kamalludin berkata, pihaknya berjaya menahan 32 orang PATI.

Mereka terdiri daripada 14 wanita warga China, Indonesia (10), Thailand (6), warga Mynmar (1) dan sepasang suami isteri dari Kemboja.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...