Sunday, September 23, 2012

Bangunan lama usang serta menyeramkan

Bangunan lama usang serta menyeramkan
Bangunan Mahkamah Majistret lama semakin usang dan terbiar.
ALOR  GAJAH - Tindakan  mat gian dan kaki botol menjadikan sebuah bangunan lama berusia lebih 70 tahun sebagai port mereka, mengundang persepsi negatif pelancong luar yang datang ke daerah ini.

Bangunan usang yang terletak di tepi jalan itu turut mengundang keresahan penduduk sekitar apabila pernah menggemparkan kawasan sekitar dengan penemuan mayat dipercayai kaki botol. 

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati, struktur bangunan yang dibina pada 1925 itu tetap teguh, malah masih boleh digunakan jika usaha pengubahsuaian dilakukan.

Difahamkan, pengunjung yang datang dari luar negeri ini sering bertanya mengapa bangunan pentadbiran mahkamah lama yang kukuh berdiri itu kelihatan usang tanpa dimanfaatkan.

Pengunjung, Fatimah Miskon, 47, berkata, dia yang kebetulan melalui bangunan berkenaan untuk ke pekan Alor Gajah dan mendapati bangunan berkenaan menyakitkan mata. 

Menurutnya, dia difahamkan bangunan itu menjadi 'port’ persinggahan kaki botol serta penagih dadah melepaskan gian.

“Saya sempat bertanya beberapa penduduk di sini semasa makan malam di sebuah restoran makanan segera. Rata-rata mereka memberi jawapan lebih kurang sama iaitu bimbang dengan keadaan bangunan usang ini,” katanya.

"Sebab itu perlu dilakukan sesuatu agar bangunan itu tidak terus terbiar serta menyakitkan mata pengunjung asing yang datang ke negeri ini,” katanya di sini, semalam.

Pekerja swasta, A.Rendra, 36, berkata, dia hairan kerana tiada sebarang perancangan dilakukan terhadap bangunan tersebut yang kelihatan seperti 'batu hidup' di tengah bandar.

“Bagi saya, daripada ia dibiarkan begitu sahaja, lebih baik dirobohkan ataupun diselenggara dengan sempurna supaya keadaan luaran serta dalaman bangunan tersebut bersih dan cantik.

“Saya tidak pasti sama ada bangunan itu milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ataupun Pejabat Daerah. Tapi yang saya pasti hingga kini bangunan itu masih terbiar dan menyeramkan.

“Apa pandangan orang luar yang kali pertama datang ke sini bila melihat bangunan yang jadi sarang mat gian dan juga kaki botol?,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md Shah menjelaskan, bangunan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Alor Gajah (PDAG).

"MPAG ada mengeluarkan notis kepada pihak PDAG bagi tujuan pembersihan bangunan tinggal itu dan notis merobohkan bangunan akan dikeluarkan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Idrus Md Jani ketika dihubungi berkata, kerja merobohkan bangunaan berkenaan akan dilaksanakan bersama MPAG dalam masa terdekat.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...