Wednesday, October 17, 2012

Lagenda Hantu Siam: Nang Nak

Nang Nak

Nak merupakan isteri yang setia kepada seorang askar yang meninggal dunia ketika melahirkan anak manakala pada waktu itu suaminya berada jauh sedang melawan tentera Burma. Suaminya, Nai Mak cedera parah tetapi masih dapat bertahan dengan jagaan Sami Mulia Somdet Tho, yang merawatnya dengan herba dan tangkal suci 'Pali'. 

Beberapa lama kemudian, Nai Mak kembali ke kampungnya di Pra Khanong (kini sebahagian daripadanya adalah Bangkok) untuk meneruskan kehidupan bersama isteri kesayangannya. Nai Mak tidak sedar bahawa isterinya, Nang Nak telah menjadi hantu kerana rohnya tidak mahu dilahirkan semula dan masih setia menunggu kembalinya Nai Mak. Nang Nak menggunakan kuasanya dengan mencipta ilusi bahawa dia dan bayinya masih hidup. 

Hanya Nai Mak terkena ilusi tersebut dan meneruskan kehidupan bersama hantu isterinya. Penduduk kampung tahu tentang kematian Nang Nak, tetapi hanya berdiam diri kerana hantu Nang Nak akan membunuh sesiapa yang cuba untuk memberitahu cerita sebenar kepada Nai Mak. Nang Nak sanggup membunuh sesiapa sahaja yang cuba untuk memisahkannya dengan suaminya termasuklah bidan yang sebelum ini cuba menyelamatkannya. 

Bomoh yang cuba menghalau kemarahan Nang Nak dengan mantera suci langsung tidak berjaya malah turut meninggal dunia. Nang Nak meninggalkan tanda amaran pada siling dan dinding kuil sehinggakan sami-sami yang kuat ilmu juga menjadi takut. Akhirnya, Nai Mak sedar bahawa isterinya bukan lagi manusia. Ketika itu, Nang Nak sedang menyediakan Somtam. Buah limau yang dipegang Nang Nak terjatuh ke bawah rumah. Nai Mak terlihat Nang Nak hanya memanjangkan tangannya tanpa perlu berjalan menuruni anak tangga bagi mengambil buah limau tersebut.

Menyedari rahsianya terbongkar, Nang Nak mengamuk di sekitar kampung dengan memusnahkan ternakan dan apa sahaja yang berada disitu. Nai Mak ketakutan dan berlari mendapatkan perlindungan di Kuil Mahabhute. Disitulah Nai Mak mendapatkan rawatan ketika cedera akibat peperangan dan bertemu dengan Sami Mulia Somdet Tho. Sesungguhnya sami tersebut tahu cara menangani masalah ini.

Somdet bersama pembantunya duduk di hadapan kubur Nang Nak yang telah digali semula. Dia menyeru kemunculan Nang Nak dengan membacakan beberapa rangkap mantera. Setelah beberapa lama, Somdet menyuruh Mak dan Nak berpelukan untuk kali terakhir. Keadaan menjadi pilu kerana mereka saling menangis dan menyatakan cinta sesama mereka. Kemudiannya Somdet membaca mantera terakhir dan memahat serpihan tengkorak di dahi mayat Nang Nak. Hantu Nang Nak kemudiannya terus lenyap.

Mak membakar mayat isterinya mengikut upacara Buddha. Dari kesedihannya, Mak merantau jauh dengan mendayung sampan. Serpihan tengkorak Nang Nak yang ditulis beberapa mantera dibawa Somdet sebagai kepala tali pinggang. Hari ini, serpihan tengkorak tersebut telah hilang dan mungkin berada di mana-mana.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...