Saturday, October 20, 2012

Mayat lelaki dalam bungkusan plastik

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki, dipercayai rakyat asing, ditemui dalam bungkusan plastik di Kilometer 65 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 40-an itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak yang sedang memotong rumput di kawasan itu pada jam 10.50 pagi.

Mayat lelaki dalam bungkusan plastik
Anggota Kementerian Kesihatan dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar membuat pengesahan sama ada mangsa masih hidup atau meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, mayat itu dijumpai dalam keadaan berbaju dan berkain sarung. Juga terdapat bantal dan tilam nipis dalam bungkusan itu.

“Pekerja kontrak itu ternampak kaki mayat dan terus membuat laporan polis. Berdasarkan keadaan mayat yang tidak berbau itu, kami percaya lelaki itu mati dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Kami masih berusaha mengesan identiti mayat kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai. Tiada kesan cedera atau darah pada mayat itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan rakan atau anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...