Saturday, October 20, 2012

Pemilik pusat jagaan haiwan dipenjara tiga bulan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin meminda hukuman denda terhadap pemilik pusat jagaan haiwan yang mengaku salah atas 30 tuduhan mengabaikan kucing peliharaan diamanahkan pemiliknya untuk dijaga ketika cuti Aidilfitri tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli memerintahkan pemilik Petknode Online Pet Store, Shahrul Azuwan Adanan dan Yushairi Khairuddin, masing-masing berusia 30 tahun, dipenjara tiga bulan, selepas menerima rayuan pihak pendakwaan.

Petknode Online Pet Store
gambar hiasan
Beliau berkata, ia adalah hukuman tambahan kepada hukuman denda RM6,000 atau RM200 bagi setiap pertuduhan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 28 Jun lalu.

Katanya, hukuman itu berjalan mulai kelmarin.

Sebelum ini, Majistret Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman denda itu kepada Shahrul Azuwan dan Yushairi yang mengaku salah atas semua pertuduhan.

Kedua-duanya didakwa mengabaikan tanggungjawab dan penjagaan kebajikan untuk memberi makanan dan minuman kepada 30 kucing milik 10 pelanggannya sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan terbabit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Petknode Online Pet Store di Nombor F001B, Level 1, Seasons Square Plaza, Jalan PJU 10/3, Damansara Damai di sini, antara 3 dan 4 September 2011.

Shahrul dan Yushairi yang kini tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu membuat pembayaran secara atas talian ketika menghantar kucing mereka ke pusat jagaan itu dan menuntut kembali kucing mereka selepas pulang bercuti sempena Aidilfitri.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...