JAKARTA - Ratusan ribu pekerja di seluruh Indonesia mengadakan mogok sehari pada Rabu bagi menuntut upah lebih tinggi dan membantah pengambilan pekerja secara kontrak di bawah sistem 'outsourcing' (penyumberan luar).
Mereka mengadakan demonstrasi serentak di beberapa tempat penting di seluruh negara bagi menyokong tuntutan itu.
Dalam mogok nasional yang digerakkan Persekutuan Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI) itu, pekerja menyenaraikan tiga tuntutan kepada kerajaan iaitu menghentikan sistem perkhidmatan kerja secara kontrak, menaikkan upah pekerja dan memberi jaminan kesihatan kepada pekerja.
Mereka turut mengancam untuk mengadakan demonstrasi lebih besar jika tuntutan terbabit tidak dipenuhi.
Tindakan mogok dan beberapa tunjuk perasaan itu yang bermula pukul 7 pagi hingga 4 petang,turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan di Indonesia sehingga ada kawasan yang lumpuh sama sekali.
Timbalan Ketua Gabungan Pengusaha Makanan dan Minuman Indonesia Yusuf Hadi dilapor berkata bahawa industri makanan dan minuman Indonesia mengalami kerugian berpuluh juta rupiah akibat demonstrasi dan mogok nasional hari ini.
Media tempatan melaporkan sebelum ini bahawa lebih dua juta pekerja akan mengambil bahagian dalam mogok nasional pada hari ini, dengan sejumlah 23,000 orang akan bertumpu di Jakarta dan beberapa bandar di sekitarnya.
Polis Kontinjen Jakarta pada hari ini menyediakan 15,000 anggota keselamatan termasuk dari Tentera Nasional Indonesia, bagi mengawal keadaan di kawasan ibu negara dan bandar sekitarnya berikutan mogok nasional itu.
Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang prihatin dengan aspirasi pekerja, meminta Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar menyelesaikan segera isu 'outsourcing' dengan melibatkan kesatuan sekerja dan majikan.
Jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha berkata Yudhoyono menasihatkan pekerja berkenaan supaya tertib dalam demonstrasi tidak terpengaruh untuk melakukan tindakan yang menjurus anarki.
Beliau juga berpesan agar tindakan mereka pada hari ini tidak mengganggu proses pengeluaran di kilang-kilang kerana perbuatan itu boleh mengganggu ekonomi negara.
Mengenai isu jaminan kesihatan, Julian berkata perkara itu sedang ditangani melalui Undang Undang Tentang Badan Penyelenggara Jaminan Sosial dan Undang Undang Tentang Sistem Jaminan Sosial.
Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2014 manakala BPJS bidang tenaga kerja pada 1 Jun 2015, katanya.
sumber- Bernama
0 comments:
Post a Comment