Saturday, November 3, 2012

Lelaki cedera ditikam di telinga

tikam di telinga
Kesemua mangsa menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Slim River. (Gambar kecil) Telinga kiri Tharmaraju yang cedera ditikam.
ULU BERNAM - Gara-gara tidak berpuas hati kerana mendakwa kereta rakan dipecahkan, sekumpulan lelaki bertindak ala samseng dengan membelasah empat lelaki lain dipercayai pelakunya sehingga cedera di telinga, kepala, muka dan badan.

Saudara salah seorang mangsa, S Santhanasamy, 41, berkata, kejadian jam 11.15 malam itu berlaku di Taman Permai, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim dekat sini lewat malam 31 Oktober lalu.

“Penjenayah terbabit datang menyerbu rumah di mana empat lelaki ini berkumpul.

“Mereka datang menyerang menggunakan cota kayu, buku lima dan pisau sehingga keempat-empat mangsa cedera,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, tindakan kumpulan terbabit mengakibatkan seorang daripada mangsa dikenali sebagai Tharmaraju cedera di telinga kiri akibat ditikam dengan pisau. Manakala, tiga rakan mangsa yang lain cedera di kepala, muka dan lebam di beberapa bahagian belakang badan.

Santhanasamy berkata, perkara yang menjadi pertikaian itu sebenarnya sudah diselesaikan lebih awal.

Bagaimanapun, katanya seorang mangsa menerima ugutan melalui telefon dipercayai ahli kumpulan terbabit.

“Kita sudah selesaikan masalah ini. Tapi, selepas itu salah seorang mangsa menerima panggilan telefon dengan kata-kata ugutan serta menakutkan mangsa.

“Penjenayah ini mengarahkan mangsa tunggu di rumah tapi beberapa minit selepas itu kumpulan terbabit datang dan terus menyerang mangsa hingga cedera,” katanya.

Menurut Santhanasamy, Tharmaraju yang cedera di telinga terpaksa dikejarkan ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Menurutnya, hanya selepas beberapa jam iaitu sekitar jam 5 pagi keesokan harinya, mereka dapat membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan samseng dilakukan kumpulan tersebut.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...