Friday, November 9, 2012

Rakan melambung di simpang

ALOR GAJAH - “Saya nampak objek melambung berdekatan persimpangan lampu isyarat sebelum menyedari rakan terbabit dalam kemalangan,” kata Islami Hisham, 18, menceritakan insiden kemalangan maut melibatkan rakannya, seorang pekerja restoran makanan segera di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Mohd Izuan Johari, 24, dari bandar Melaka ke Melaka Pindah sebelum motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang hilang kawalan melanggar pembahagi jalan.

Rakan melambung di simpang
Polis memeriksa keadaan mangsa yang tertangkup atas jalan raya.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya melambung sebelum kepala Mohd Izuan terhentak pada lampu isyarat dan tercampak ke laluan bertentangan.

Islami yang merupakan saksi terawal kejadian berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paya Datuk sebelum menyedari terdapat objek melambung di hadapan.

"Saya duduk di sebelah pemandu meminta rakan memperlahankan kereta untuk mengamati objek berkenaan sebelum terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan tertangkup atas jalan.

"Sebaik keluar kereta saya terkejut lihat mangsa adalah rakan saya sendiri," katanya.

Menurutnya, dia yang panik melihat mangsa tidak sedarkan diri mengalihkan motosikal yang tercampak beberapa meteri.

"Saya kemudiannya cuba menghubungi keluarga mangsa namun gagal sebelum segera ke rumahnya di Melaka Pindah bagi memaklumkan kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, berkata, mangsa keluar dari rumah untuk ke bandar Melaka kira-kira 12 tengah malam semalam sebelum terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang.

“Ketika rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan menyangka rakan datang untuk menjemput saya ke tempat kerja seperti biasa setiap pagi,” katanya.

Zaiton berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah terkejut apabila dimaklumkan anak keduanya dari tiga beradik itu terbabit dalam kemalangan tanpa menyangka anaknya itu terkorban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...