Monday, December 31, 2012

Mayat lelaki ditemui tersangkut

SUNGAI PETANI - Orang ramai di sekitar Kampung Pengkalan Ikan Bilis, Sungai Lalang gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam sungai dekat sini kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Penduduk kampung, yang enggan dikenali berkata, mayat berusia lingkungan 30-an itu ditemui tersangkut pada sebatang pokok dalam sungai berkenaan.

Mayat lelaki
Bomba terpaksa menggunakan sampan nelayan untuk membawa mayat ke tebing.
“Pada mulanya memang ternampak seperti ada sesuatu tetapi, tidak menyangka ‘benda’ yang tersangkut pada pokok itu mayat manusia,” katanya kepada Sinar Harian.

Tinjauan mendapati, mayat lelaki tersebut berbaju-T warna merah dan berseluar dalam serta memiliki gelang di sebelah kiri pergelangan tangannya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba, Rosdi Ismail berkata, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.

“Kita turut menggunakan sampan nelayan untuk membawa mayat ke tebing sebelum diserahkan kepada pasukan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, siasatan masih dijalankan berhubung kejadian.

“Sehingga kini identiti mangsa belum dikenal pasti namun, berdasarkan keadaan mayat, ia dipercayai meninggal dunia lebih dari tiga hari,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat.

sumber- Sinar

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...