Sunday, February 24, 2013

Siasat mayat wanita Malaysia dalam simen

Bandar Seri Begawan: Polis Brunei, semalam melancarkan siasatan terhadap kematian seorang wanita Malaysia yang mayatnya ditemui dalam blok simen di perkarangan rumah seorang rakannya, kematian ngeri terbaru yang mengejutkan di negara itu.

Siasat mayat wanita Malaysia dalam simen

Voon Su Ching, 39, dilapor hilang suaminya pada 13 Februari selepas tidak pulang selepas keluar membeli kek untuk hari jadi anaknya.

Polis menemui mayatnya lima hari kemudian di rumah rakannya yang meminta dia memantau kediaman itu sementara dia bercuti menyambut Tahun Baru Cina.

Jurucakap polis Brunei, Pengiran Abdul Salam Ghani berkata, bedah siasat sudah dijalankan dan polis masih menanti laporan pemeriksaan itu bagi menentukan punca kematian.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya dan akan dibawa pulang ke Malaysia,” kata Abdul Salam kepada wartawan.

Beliau bagaimanapun menafikan laporan media Malaysia bahawa seorang suspek sudah ditahan dan enggan mengulas lebih lanjut mengenai siasatan itu.

Voon yang berasal dari Sarawak menjalankan perniagaan mencuci kereta di Brunei dan tinggal bersama suami dan anak lelakinya.

Banglo tempat mayat itu ditemui masih diperiksa polis.

Sebuah akhbar Malaysia sebelum ini melaporkan, mayat Voon ditemui selepas pemilik banglo itu menemui blok simen setinggi tiga meter di lamannya dengan bau yang busuk.

Jenayah ganas jarang berlaku di Brunei. 

sumber- AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...