Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Tuesday, July 3, 2012

Maut dipaksa minum asid


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas menemui ajal selepas dipaksa minum sejenis cecair dipercayai asid oleh sekumpulan penjenayah yang dipercayai konco ceti haram atau along.

Mangsa, Tan Chong Hong, 58, yang berasal dari Taman Pertama, Cheras, di sini, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), jam 3 petang kelmarin.

Sumber polis berkata, pada jam 1 tengah hari Jumaat lalu, mangsa dihantar anak lelakinya ke klinik berdekatan rumahnya kerana mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, selepas mendapat rawatan mangsa berjalan sendirian untuk pulang ke rumah kerana anaknya mempunyai urusan lain.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, empat lelaki menculik mangsa dengan sebuah kereta sebelum dia ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan jam 5 petang keesokan hari.

“Polis masih menyiasat tempat mangsa ditemui kerana setakat ini orang awam yang menghantar mangsa ke PPUKM masih gagal dikesan,” katanya.

Sumber itu berkata, anak lelaki mangsa yang dihubungi pihak hospital pada jam 9 malam Jumaat lalu bergegas ke hospital untuk menemui ayahnya. Menurutnya, mangsa meninggal dunia di PPUKM jam 3 petang kelmarin dan laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan kerosakan organ dalaman di perut akibat tindakan bahan kimia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengesahkan wujud bahan beracun dalam badan mangsa.

“Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

sumber-Harian Metro

Bukan meminta sedekah

KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus daripada ahli Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB) melakukan aktiviti ‘menarik’ atau menjual tisu dari restoran ke restoran sambil dipimpin orang celik sekitar Lembah Klang.

Presiden PKB, Raja Zainuddin Raja Ghazali berkata, antara 50 hingga 60 ahlinya terdiri daripada kaum lelaki berusia 30 tahun ke atas aktif mencari rezeki melalui penjualan tisu di restoran semata-mata menyara kehidupan keluarga masing-masing.

Sambil menafikan kegiatan dilakukan mereka adalah meminta sedekah, Raja Zainuddin mengakui langkah berkenaan sebagai satu daripada alternatif yang mampu dilakukan golongan buta akibat kesukaran mendapat peluang pekerjaan lain atas kekurangan dimiliki.

“Boleh dikatakan setiap ahli PKB mahupun orang buta secara keseluruhan mempunyai pelajaran, namun mereka tidak memiliki pilihan pekerjaan melainkan peluang ini untuk mencari rezeki.

“Saya juga menafikan wujudnya sindiket memanipulasi golongan buta didalangi orang celik kerana sepanjang pengetahuan saya, OKU itu sendiri mengetuai aktiviti ‘menarik’ dan dibantu wanita warga asing, khususnya Indonesia. Malah pembahagian keuntungan turut ditentukan si buta.

“Orang buta memerlukan bantuan daripada si celik untuk bergerak lebih mudah dan cepat untuk melakukan jualan, jadi warga asing ini memainkan peranan membantu OKU di samping menerima sedikit imbuhan sebagai ganjaran,” katanya.

sumber- HMetro

Lima warga Bangladesh, seorang warga Indonesia maut dalam dua kebakaran berasingan

KUALA LUMPUR: Enam warga asing, lima daripada merupakan warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia maut dalam dua kebakaran berasingan di Taman Puchong Perdana dan Kampung Baru Sungai Buloh di sini, awal pagi tadi.

Di dalam kebakaran di Taman Puchong Perdana pada kira-kira 3 pagi, yang maut ialah lima warga Bangladesh termasuk pasangan adik-beradik yang terperangkap di dalam rumah teres dua tingkat yang mereka sewa.

Mereka dikenali sebagai Sarova Baboo, Ruman, Abdullah Al-Farhad serta pasangan adik-beradik tersebut iaitu Md Basir dan Md Farouk.

Kesemua mereka berumur antara 24 dan 40 tahun.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul memberitahu pemberita, rumah tersebut didiami tujuh warga Bangladesh dan dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Mereka yang terkorban dipercayai terperangkap di dalam dua bilik di tingkat atas rumah itu apabila tidak dapat membuka jeriji besi tingkap untuk menyelamatkan diri, katanya.


Beliau berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dan Subang Jaya bersama 15 anggota berjaya memadamkan api setengah jam selepas menerima laporan kebakaran pada 3.15 pagi.

Menurut M.D Rubel, 27, salah seorang mangsa yang terselamat, dia tidur di bilik bawah sementra seorang lagi rakannya yang terselamat iaitu Bilal Hussin tidur di ruang tamu.

"Saya tersedar dari tidur bila rasa panas. Bila saya buka pintu bilik, saya tengok api sudah besar di bahagian bawah. Saya cuba selamat kawan di bilik atas bila dengar mereka meminta tolong, tetapi api sangat besar di tangga, saya tidak boleh ke atas," katanya yang turut cedera di kaki akibat terkena serpihan kaca ketika menyelamatkan diri.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli ketika ditemui di tempat kejadian berkata kebakaran kemungkinan berpunca dari litar pintas dari tingkat bawah dan kelima-lima mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Buloh pula, seorang wanita Indonesia yang dikenali sebagai Asna, 55, pekerja sebuah kedai kopi maut dalam kebakaran kira-kira 2 pagi di sebuah rumah papan setingkat di Jalan Welfare yang merupakan tempat tinggal para pekerja kedai itu.

Pemilik kedai kopi yang beroperasi 24 jam itu, P. Tharitheran, 66, berkata pada masa kejadian dia bersama anak lelakinya sedang berniaga di kedainya yang terletak bersebelahan rumah itu, apabila mereka tiba-tiba melihat kepulan asap keluar dari rumah tersebut.

"Ada dua pekerja wanita Indonesia yang bekerja dengan saya sedang tidur dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu. Selepas ternampak kepulan asap itu, saya menjerit suruh mereka keluar. Tapi saya hanya nampak seorang dari mereka meluru keluar," katanya.

Tharitheran berkata dia kemudian dimaklumkan oleh Yehani, 50, bahawa Asna yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak enggan keluar kerana sibuk menyimbah air untuk memadam kebakaran.

Mohamad Sani berkata mayat Asna dijumpai di dalam bilik air dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Katanya dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

sumber- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...