Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Wednesday, December 26, 2012

Kereta sport hibrid Ferrari akan dikeluarkan

MARANELLO - Gergasi perlumbaan Itali, Ferrari akan mengeluarkan model kereta sport hibrid untuk memenuhi cita rasa peminat kereta berkelajuan tinggi dan pada masa yang sama, peka terhadap penjagaan alam sekitar dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Kami sedang berusaha mengurangkan pengunaan tenaga tanpa menjejaskan prestasi Ferrari," kata ketua pembangunan kereta berkenaan, Matteo Lanzavecchia di sini.

Ferrari
SEORANG pekerja memeriksa sebuah kereta Ferrari di kilang kenderaan itu di Maranello, Itali pada 5 Disember lalu.
"Kami juga berjaya meningkatkan kuasa kuda kereta Ferrari serta mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida sebanyak 30 peratus," katanya.

Model California 30 yang berharga AS$239,000 (RM731,340) keluaran Ferrari kini lebih berkuasa dan dilengkapi teknologi terbaharu tetapi beratnya telah dikurangkan sebanyak 30 kilogram berbanding versi sebelum ini.

Pada tahun lalu, sebanyak 7,200 kereta Ferarri telah dijual di seluruh dunia, meningkat 10 peratus berbanding 2010.

Pengarah Komersial Ferrari, Enrico Galliera berkata, pihaknya turut meminati pasaran di Malaysia.

"Terdapat banyak peluang di serata dunia. Ya, pastinya kami amat berhati-hati dengan beberapa pasaran seperti Eropah tetapi terdapat ekonomi lain yang sedang berkembang iaitu China, Indonesia, Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya. 

sumber- AFP

Aktivis main gitar di tengah-tengah jalan raya

NEW DELHI - Seorang pengarah muzik dan aktivis sosial, Kishor Giri duduk di tengah-tengah jalan raya dan bermain gitar di Gauhati di sini semalam.

Giri membawa kain yang mengandungi mesejnya yang menentang kejadian rogol beramai-ramai terhadap seorang wanita yang belajar di sebuah universiti di sini.

Kishor Giri
GIRI duduk di bahagian tengah jalan raya untuk bermain gitar di Gauhati, New Delhi semalam.
Dia merupakan antara sejumlah besar penduduk yang membantah kejadian rogol beramai-ramai ke atas wanita berusia 23 tahun itu.

Kejadian itu berlaku pada 16 Disember lalu apabila pelajar berkenaan dirogol di dalam sebuah bas sebelum dicampak keluar.

Pelajar itu kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital selepas dia dipukul dengan batang besi dan mengalami kecederaan di bahagian usus.

Semua penyerangnya kini telah ditahan.

Kejadian itu juga telah mencetuskan bantahan ganas dalam kalangan penduduk di sini sejak Ahad lalu hingga kelmarin.

Para penunjuk perasaan tersebut menuntut perlindungan keselamatan terhadap wanita selepas kejadian kejam itu berlaku. 

sumber- Agensi

Bomba ditembak mati ketika datang padamkan kebakaran

WEBSTER, New York – Seorang bekas banduan membakar sebuah rumah dan kereta di kejiranannya di sini, dalam negeri New York, untuk mengumpan pihak bomba sebelum menembak mati dua anggota pasukan berkenaan.

Penyerang kemudian bertindak membunuh diri selepas berbalas tembakan dengan pihak polis.

RUMAH dibakar Spengler bagi mengumpan anggota-anggota bomba supaya datang ke rumahnya di Webster, New York.
RUMAH dibakar Spengler bagi mengumpan anggota-anggota bomba supaya datang ke rumahnya di Webster, New York.
Dalam kejadian tersebut, pihak berkuasa terpaksa menggunakan kereta perisai untuk memindahkan mangsa-mangsa yang terbunuh serta 33 orang penduduk sekitarnya.

Ketua polis bandar ini, Gerald Pickering berkata, penyerang bersenjata itu, William Spengler telah dipenjara lebih 17 tahun kerana memukul sampai mati neneknya yang berusia 92 tahun pada tahun 1980.

Menurutnya, pembunuhan tersebut berlaku di sebuah rumah bersebelahan kediaman tempat serangan kelmarin berlaku.

Pihak berkuasa memberitahu, Spengler, 62, memperoleh parol pada 1998 dan menyepikan diri sejak dia dibebaskan.

“Kebakaran itu satu perangkap,” kata Pickering pada satu sidang media.

“Mereka ini (anggota-anggota bomba) bangun di tengah malam demi memadamkan kebakaran. Mereka tidak menyangka akan ditembak dan terbunuh,” tambahnya.

Setakat ini, polis masih menyiasat motif serangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, satu rakaman audio yang disiarkan di laman web RadioReference.com menunjukkan seseorang melaporkan bahawa penyerang menggunakan sepucuk raifal atau senapang.

Dia melepaskan tembakan dari atas sebuah rabung di luar kediaman tersebut.

Jelas pihak berkuasa, dua anggota bomba mati di tempat kejadian manakala dua yang lain dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu turut cedera dalam insiden tersebut.

Menurut Pickering, sebanyak tujuh buah rumah musnah dengan polis masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa lain yang maut dalam serangan tersebut. Dalam perkembangan yang sama, seorang anggota polis Bellaire dan seorang penduduk ditembak dan dibunuh seorang suspek di tempat letak kereta kedai barangan penjagaan diri di barat daya bandar raya Houston kelmarin, kata beberapa pegawai.

Pihak berkuasa menyatakan, Koperal Jimmie Norman, 53, sedang mengejar suspek berusia 21 tahun itu, Harlem Harold Lewis apabila dia menaiki kereta ke tempat pakir pada pukul 8.55 pagi waktu tempatan.

Beberapa saksi berkata, Lewis keluar dari kenderaannya dan mula melepaskan berdas-das tembakan.

“Lelaki itu mula menembak dengan tembakan dilepaskan ketika saya melarikan diri. Kira-kira 10 minit kemudian saya terfikir pistol apa yang digunakan lelaki itu,” kata sorang saksi, Stephanie Pacheco.

Seorang saksi lain, Selvin Romero memberitahu Lewis melanggar trak pikap miliknya.

Menurut Romero, dia mengekori Lewis ke laluan di hadapan kedai itu.

Katanya, dia melihat Norman menghampiri kereta Lewis untuk memaksa dia menyerah diri. Namun, beberapa saat kemudian, Lewis melepaskan tembakan ke arah anggota polis itu.

“Suspek mula menembak anggota polis itu dan seterusnya menembak pemilik kedai berkenaan," kata Romero.

Pemilik kedai itu, Terry Taylor ditembak pada jarak dekat di kepala. Menurut polis, dia mati di tempat kejadian.

Polis menyatakan, Norman dibawa ke Hospital Ben Taub di sini dan meninggal dunia tidak lama kemudian. Dia tidak berbalas tembakan dengan suspek.

Lewis cedera dan melarikan diri tetapi dia ditemui di belakang sebuah premis perniagaan tidak jauh dari lokasi kejadian. Menurut polis, sepucuk senjata api ditemui di tempat kejadian.

Lewis kemudian dibawa ke sebuah hospital berhampiran dan berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Beberapa doktor memberitahu, dia dijangka pulih. Suspek kini berdepan dakwaan membunuh seorang anggota polis dan melakukan pembunuhan.

Sementara itu, seorang lelaki Seattle berusia 30 tahun terbunuh dan seorang lelaki cedera dalam insiden tembakan di sebuah bar di Bellevue dalam negeri Washington juga kelmarin.

Polis Washington mengeluarkan waran tangkap pada hari yang sama terhadap seorang remaja berusia 19 tahun berhubung kejadian itu.

Sebelum ini, kejadian tembakan berlaku di Sekolah Rendah Newton, Connecticut pada 14 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pemuda berusia 20 tahun, Adam Lanza menembak ibunya dan 20 kanak-kanak termasuk enam kakitangan sekolah tersebut.

Lanza kemudian membunuh diri.

sumber - Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...