Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Sunday, September 23, 2012

Lapangan Terbang Antarabangsa P Ramlee

Allayarham Tan Sri P. Ramlee
Allayarham Tan Sri P. Ramlee
SHAH ALAM – Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee bagi mengenang jasa seniman terunggul itu.

“Pulau Pinang amat bangga bahawa Allayarham Tan Sri P. Ramlee adalah anak negeri Pulau Pinang yang dibesarkan dan belajar di sini,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, masih ada ramai yang tidak tahu bahawa P. Ramlee berasal dari Pulau Pinang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Ia dibuka pada 1935.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, memandangkan beliau dikenali umum di peringkat antarabangsa, adalah wajar nama beliau terukir di peringkat antarabangsa seperti lapangan terbang yang berhubung kait dengan pentas dunia.

Pada masa yang sama, ujarnya, keadaan kerja semasa membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa sebanyak RM250 juta di luar atau di dalam agak kurang memuaskan dengan kebocoron air hujan, kualiti kerja kurang baik dalam banyak aspek, kelambatan siap kerja dan pengurusan kerja yang mengganggu penumpang-penumpang.

“Terlalu banyak aduan diterima bukan sahaja daripada penumpang tetapi juga daripada pekerja-pekerja dalam lapangan terbang tersebut,” ujarnya.

Justeru, kata Guan Eng, beliau juga berharap Kerajaan Persektuan boleh menjalankan semakan setiap minggu untuk mengenal pasti masalah tersebut yang timbul agar ia tidak ditutup begitu sahaja.

“Kebimbangan semua pihak adalah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee ini akan menjadi suatu lapangan terbang bermasalah sebaik ia siap kelak,” katanya.

sumber- Sinar

Gempar! Anak kahwin bapa sendiri tanpa sedar

Valerie Spruill
Valerie Spruill
OHIO - Gempar! Ujian DNA yang dijalankan ke atas sebatang berus gigi akhirnya mendedahkan satu rahsia ‘gelap’ hubungan anak dan bapa.

Pendedahan itu hampir meragut nyawa, memusnahkan hubungan institusi kekeluargaan dan meruntuhkan iman.

Kisah benar ini terbongkar selepas kematian suaminya yang merungkai siapa sebenarnya suami ataupun bapa kepada seorang wanita, Valerie Spruill.

Bagi Spruill, apa yang berlaku adalah tidak masuk akal dan tidak menyangka dia telah mengahwini ‘bapanya’ yang tidak pernah dikenali seumur hidupnya.

“Perkara ini sangat buruk dan boleh memusnahkan hidup seseorang. Malah ia hampir musnah,” katanya ketika dihubungi wartawan CNN, Khamis lalu.

Kisah peribadi Spruill, 60, wanita yang berasal dari Doylestown, Ohio mula diterbitkan bulan ini dalam Akron Beacon Journal dengan tujuan dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah sama dan diambil iktibar.

Ia adalah sebuah kisah yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana perkara itu berlaku dan mampu menarik perhatian orang jauh termasuk di India dan Australia.

Persoalan yang sama terbit di hati Spruill sendiri sehingga dia terpaksa bergelut dengan kebenaran semenjak dia mengetahui kebenarannya pada 2004 iaitu enam tahun selepas suaminya, Percy Spruill meninggal dunia.

“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak kerana perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah timbul.

“Saya rasa, kalau dia tahu pun, dia semestinya tidak akan memberitahu saya,” ujarnya kesal.

Spruill sebelum ini telah mengesahkan DNA yang ditemui pada berus gigi suaminya.

Sebaik mengetahui kebenaran itu, Spruill berhadapan dengan tekanan emosi dan fizikal yang teruk sehingga diserang strok dua kali dan telah didiagnosis mendapat diabetes.

“Sakit dan tekanan akan membunuh diri saya tetapi saya terpaksa melepaskan tekanan ini.

“Saya hanya memberitahu cerita untuk melepaskan kesakitan saya,” kata Spruill.

Bagaimanapun, Spruill percaya Tuhan sedang mengujinya kerana melalui pengalaman ini telah membentuk hidupnya.

Bercerita mengenai detik perkenalan pasangan itu, Spruill berkata, dia bertemu suaminya di Akron dan menetap di Doylestown, sebuah pinggir bandar untuk golongan pekerja yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari pusat bandar New York.

Itu adalah perkahwinannya yang kedua. Spruill digambarkan sebagai seorang suami yang baik dan tidak lokek. Dia juga dikatakan memberi layanan yang baik terhadap ‘anak-anak tirinya’.

“Kami mempunyai kehidupan yang baik,” katanya.

Pada mulanya, dia terpaksa berhadapan dengan kemarahan dan membenci suaminya atas apa yang berlaku.

Namun, melalui proses terapi dia akhirnya mulai menerima apa yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sebaliknya, semua itu ialah ketentuan takdir.

Kebelakangan ini, dia turut dihubungi beberapa pasangan yang senasib dengannya.

Mereka memberitahu Spruill, kisahnya itu menjadi teladan kepada mereka untuk menguruskan kisah masing-masing.

“Mereka cuba berkawan dengan saya sekarang,” katanya.

Sementara yang lain, masih sukar dan kurang mesra.

“Ada yang berpendapat, ‘apa yang rahsia, biarlah rahsia’.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang pendapat mereka itu. Saya hanya tahu apa yang saya fikirkan.

“Tuhan Maha Berkuasa dan Dia telah mengajar kita untuk berkata benar walau dalam situasi apa pun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Spruill mengakui, tidak ramai di antara mereka yang berkata benar dan dia telah mempelajarinya daripada pengalaman sejak dari kecil.

Mengimbau kisah lalu, ibu Spruill telah hamil masih remaja ketika berpacaran dengan bapanya yang ketika itu berusia 15 tahun.

Selepas dilahirkan, Spruill yang baru berusia tiga bulan telah diserahkan ibunya untuk dijaga oleh datuk dan neneknya, di mana selama ini dia menganggap sebagai orang tua kandungnya.

Ketika berusia lapan atau sembilan tahun, barulah Spruill mengetahui bahawa wanita yang sering datang menziarahinya itu ialah ibu kandungnya yang sebenar dan bukannya kawan keluarganya seperi yang didakwa sebelum ini.

Namun, tidak ada sesiapa pernah membicarakan mengenai siapa bapa kandungnya sebelum ini.

Kini, tiada siapa yang tinggal untuk memberikan Spruill jawapan mengenai suaminya itu. Ibunya, Christine meninggal dunia pada 1984 manakala kedua orang datuk dan neneknya pula telah lama meninggal dunia.

Sebelum ini, Spruill telah mengetahui ibunya bekerja sebagai pelacur dan pernah ditahan pada 1980 kerana terlibat skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan James Barbuto, seorang hakim yang disabitkan bersalah kerana mengugut dan memaksa melakukan seks kasar ke atas seorang kerani mahkamah di pejabatnya.

“Ibu telah mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada saya. Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak akan pernah menyesal ataupun merungut,” katanya.

Bagaimanapun, dia percaya, dia masih mempunyai adik beradik kandung dan tiri dari suaminya, termasuk di sebelah ibunya.

Katanya, dia ingin mencari mereka dan memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan.

Kini, Spruill bahagia bersama tiga orang cahaya mata dan lapan orang cucu.

Dia sebelum ini terpaksa berhadapan dilema untuk memberitahu anak-anaknya bahawa lelaki yang menjadi bapa tiri  mereka itu sebenarnya adalah datuk mereka sendiri.

Spruill yang sebelum ini terpaksa mendapatkan sokongan dari pakar terapi, "bantu saya untuk memberitahu anak-anak saya,” katanya.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka dua tahun lalu dan mereka benar-benar terkejut mengenai perkara itu. Namun, penerimaan mereka jauh lebih baik berbanding saya.”

Beberapa hari sebelum rahsia ini diketahui umum, Spruill memberitahu cucu-cucunya.

"Mereka benar-benar menyokong saya. "Mereka juga kata mereka tetap sayangkan saya dan perlu beritahu apa yang diperlukan oleh saya,” jelasnya lagi.

Semenjak bersara dari jabatan perakaunan Goodyear di mana beliau telah bertugas selama 34 tahun, dia mengisi masa lapangnya dengan menulis kisah hidupnya dan berharap dapat menerbitkannya kelak.

"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang untuk melalui kehidupan ini.

"Ia juga merupakan satu keajaiban kerana saya masih di sini dan saya mahu orang lain tahu, jika mereka turut melalui pengalaman seperti saya, mereka tetap boleh meneruskan kehidupan," katanya lagi.

sumber- CNN

Trauma diacu parang

Siti Khatijah Ahmad
Siti Khatijah melakonkan semula situasi kakaknya yang diikat dan diselubung dengan selimut semasa rompakan berlaku.
BENTONG - Dua beradik warga emas berdepan saat mencemaskan apabila rumah mereka di Simpang Chamang, dekat sini, dimasuki tiga perompak, kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.

Ketika kejadian, Sainiah Ahmad, 80, sedang menonton televisyen di dalam bilik tidur manakala adiknya, Siti Khatijah Ahmad, 60, sedang berbaring di ruang tamu.

Siti Khatijah berkata, semasa berbaring dia terdengar bunyi bising di bahagian dapur, namun menyangka anak saudaranya datang.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut kerana yang muncul ketika itu ialah tiga lelaki dan dua daripadanya bersenjatakan parang.

“Dua lelaki itu terus masuk ke dalam bilik kakak saya dan mengarahkan kakak menyerahkan barangan berharga.

“Dalam masa sama saya juga turut diminta masuk ke dalam bilik sebelum kami berdua diikat,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Khatijah berkata, tangannya diikat ke belakang dan mulut ditutup dengan plaster, manakala kakaknya pula diikat tangan di bahagian depan dan bahagian kaki kemudian diselubung dengan selimut.

Jerit minta tolong

Selepas kira-kira 15 minit menggeledah bilik tidur, Siti Khatijah berkata, ketiga perompak itu berlalu pergi meninggalkan mereka berdua dalam keadaan terikat di atas katil.

Menurutnya, selepas menyedari keadaan selamat, kakaknya mengambil gunting dan terus mengunting ikatan tali di bahagian tangannya.

“Saya kemudian terus ke ruang tamu menelefon saudara mara terdekat, namun hampa kerana talian telefon sudah diputuskan perompak terbabit.

“Selepas itu saya jerit minta tolong dan nasib baik jiran sebelah dengar,” katanya.

Siti Khatijah berkata, jirannya membantu menghubungi ahli keluarga terdekat dan polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ugut bunuh

Sementara itu, Sainiah berkata, perompak terbabit mengacukan parang beberapa kali ke bahagian dadanya sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya tidak menyerahkan barang berharga.

Katanya, salah seorang perompak sempat memberitahu mereka sudah lama memerhatikan rumahnya.

“Sehingga kini kami berdua masih trauma dengan apa yang berlaku. Kalau ingat kejadian itu saya akan berasa sesak nafas.

“Namun saya bersyukur kerana kami berdua selamat walaupun hilang barang kemas dan sejumlah wang tunai lebih kurang RM2,000 serta sebuah telefon bimbit,” katanya.

Terkejut terima panggilan jiran

Anak Sainiah, Amiruddin Ahmad, 55, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon daripada jiran ibunya memaklumkan kejadian yang berlaku.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah ibunya dan mendapati perompak terbabit masuk selepas mengumpil pintu di bahagian tepi rumah.

“Setiap malam, memang rutin harian saya datang menemani emak dan ibu saudara tidur di rumah ini. Namun pada hari ini (malam kelmarin) saya terlewat sedikit,” katanya.

Amiruddin berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana perompak berkenaan seolah-olah sudah membuat pemerhatian sebelum menyamun rumah ibunya.

Polis jalankan siasatan

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan bersenjata.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun yang melawat keluarga mangsa menasihatkan penduduk supaya peka dengan keadaan persekitaran termasuk kehadiran individu mencurigakan di sekitar kawasan rumah.

Menurutnya, masalah kecurian dan pecah rumah biasanya berlaku di luar jangkaan menyebabkan penduduk perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.

sumber- Sinar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...