Sunday, July 1, 2012

4 termasuk 3 warga Arab maut di Langkawi

LANGKAWI - Empat orang, termasuk tiga warga asing berketurunan Arab, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah teksi dengan lori simen di Jalan Ayer Hangat di sini.

Mereka yang maut ialah pemandu teksi Zubir Ibrahim, 42, dari Kampung Bohor Merah, Mukim Ayer Hangat serta tiga beradik penumpang teksi berkenaan iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.

Berdasarkan dokumen pengenalan, warga asing itu ialah Miriam Mohamed Maisara Hameed, 26, dan Alaa Mohamed Maisara Abdul Hameed, 16, kedua-dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Lembah Klang serta Mohammad Maysra Abdul Hameed, 18.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintenden Harith Kam Abdullah berkata kejadian kira-kira 4 petang tadi itu dipercayai berlaku apabila teksi tersebut cuba memotong di laluan berkembar di kawasan berhampiran tempat membakar sampah Belanga Pecah, Kuah sebelum bertembung lori simen.


"Akibat pelanggaran itu, separuh daripada teksi Cherry Alado itu terperosok di bawa lori. Keempat-empat mangsa mati di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Hospital Langkawi hari ini.
Beliau berkata pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk mengeluarkan semua mangsa kerana teksi itu remuk teruk.


"Berdasarkan dokumen, walaupun ketiga-tiga warga asing itu adik-beradik tetapi dua mangsa perempuan adalah warga United Kingdom manakala lelaki itu warga Sudan," katanya.

Harith Kam berkata tiga warga asing itu tiba di Langkawi pada 25 Jun lepas dan dijangka keluar pada 2 Julai.

Katanya, teksi itu adalah teksi yang mempunyai permit dan dokumen lain bagi membawa penumpang.


Beliau berkata pemandu lori simen berusia 44 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
"Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Langkawi. Bedah siasat pemandu teksi dibuat kira-kira 8 malam ini manakala warga asing hanya selepas waris mereka dimaklumkan," katanya.


Sementara itu, Rashidah Saad, 42, berkata Allahyarham Zubir keluar rumah pukul 8 pagi tadi dan kira-kira 4.30 petang, rakan suaminya memaklumkan pemandu teksi tersebut terbabit dalam satu kemalangan.

Allahyarham mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga 17 tahun.

Jenazahnya akan dikebumikan di Masjid Bohor Merah kira-kira 11 malam ini.

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...