gambar hiasan |
RANTAU PANJANG: Seorang peniaga nanas yang juga ibu tunggal beranak tiga, maut dalam keadaan mengerikan apabila bukan saja dirempuh lori membawa muatan tanah bijih besi, malah terseret sejauh 12 meter dari gerainya ke dalam parit sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu dalam kemalangan di Kilometer 19, Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, dekat Gual Tinggi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Nik Meriam Nik Jar, 52, dari Kampung Bakat, di sini, sedang berniaga sebelum dirempuh lori yang terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Mayat mangsa dikeluarkan lebih sejam kemudian dengan bantuan anggota bomba Rantau Panjang, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang, penduduk kampung dan sebuah jentolak sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat.
Jenazahnya kemudian dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Luar, Gual Periok, di sini.
Difahamkan, pemandu lori berusia 30-an dan berasal dari Kampung Pulau Pak Amat, Kota Bharu, itu dalam perjalanan dari Lubok Setol, di sini, menghala ke Pasir Mas sebelum gagal mengawal kenderaan dan terbabas melanggar mangsa, gerai dan motosikal mangsa yang diletakkan di pondok rehat berhampiran gerai itu.
Pemandu lori itu cedera ringan dan dibawa ke HPM oleh anggota JPAM Rantau Panjang.
Anak mangsa, Siti Mariani Daud, 31, berkata, hasrat ibunya untuk memakai baju kurung berjahit manik pada Aidilfitri ini tidak kesampaian.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Selasa lalu, selepas berbuka bersama keluarga. Arwah beritahu dia ingin menjahit manik pada baju kurung yang akan dipakai pada Aidilfitri nanti.
“Bagaimanapun, hasratnya kini tidak kesampaian,” katanya.
Menurut Siti Mariani, seorang rakan ibunya turut memaklumkan kepadanya bahawa ibunya membuat pesanan nanas yang terakhir sehari sebelum kejadian.
“Sehari sebelum kejadian, rakan arwah yang juga pembekal nanas maklumkan kepada saya, ketika mengambil nanas daripadanya, arwah beritahu ia pesanan nanas terakhir,” katanya.
0 comments:
Post a Comment