Wednesday, August 29, 2012

Banjir terburuk sejak 30 tahun

Banjir terburuk sejak 30 tahun
Wan Yusof (dua, kiri) meninjau keadaan dinding belakang rumah penduduk (kanan) yang roboh ditimpa air banjir.
TANAH MERAH - Insiden banjir kilat yang berlaku pada malam 21 Ogos lalu, disifatkan bencana alam terburuk pernah berlaku sejak lebih 30 tahun di Air Naga sehingga menyebabkan 25 rumah penduduk terjejas.

Lebih menyedihkan insiden tersebut membuatkan ramai penduduk menanggung kerugian apabila haiwan ternakan, kereta, motosikal, kelengkapan rumah, buku dan baju sekolah anak hilang dibawa arus malah ada dinding rumah penduduk yang roboh.

Penduduk, Abdul Razak Samad, 60, berkata, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur kerana beraya bersama anaknya, namun serta merta pulang setelah dimaklumkan anak saudara rumahnya turut terlibat dalam banjir kilat itu.

Menurutnya, banjir kilat sedemikian tidak pernah berlaku di kawasan berkenaan selama lebih 30 tahun dia tinggal dekat sini namun kejadian pada hari raya ketiga itu, air naik secara mendadak dalam masa dua jam sahaja.

“Banyak barang rosak dan tidak boleh dipakai seperti tilam, sofa, peti dan alatan elektrik yang lain.

“Kami sekeluarga ambil masa dua hari untuk bersihkan rumah ekoran banjir kilat membawa air lumpur,” katanya.

Abdul Razak turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapa, Ketua Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail yang melawat keadaan rumahnya serta tiga rumah penduduk lain.

Penduduk cemas banjir kilat bawa arus deras

Penduduk, Minah Mat Diah, 60, berkata, hujan lebat selama dua jam membuatkan air naik secara mendadak tanpa disedari 25 penghuni rumah.

“Waktu itu memang takut, saya bawa cucu duduk atas sofa kerana air naik paras lutut atas rumah, habis kereta anak dan motosikal tenggelam. Barang-barang perabot dan elektrik rosak malah ada yang dibawa arus,” katanya.

Gadai nyawa selamat cucu

Penduduk, Mesah Che Amat, 59, berkata, kejadian yang berlaku sekelip mata itu membuatkan dia hanya terfikir mahu menyelamatkan 10 cucunya yang berada di rumah di mana sedang bercuti sempena hari raya.

“Selepas makan malam, saya berbual di ruang tamu bersama tiga anak dan dua menantu dan cucu juga ada, namun dikejutkan dengan suara suami supaya bersiap bila lihat air mula naik.

“Suami terus menyelamatkan cucu dengan membawa mereka ke seberang jalan, kejadian tersebut jadi igauan ngeri buat kami sekeluarga pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Usahakan bantuan

Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ghani turun padang melihat keadaan terkini serta menyampaikan sumbangan berupa barangan kelengkapan dapur untuk meringankan beban mangsa banjir kilat.

“Kita harap penduduk tabah dan anggap ia sebaik ujian dan kalau boleh, sama-sama berdoa biar insiden tersebut jadi yang pertama dan terakhir berlaku dekat sini.

“Selepas ini lebih banyak bantuan akan mereka terima menerusi inisiatif beberapa jabatan terlibat,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...