Friday, August 24, 2012

Bayi 7 bulan maut bot terbalik

bayi 7 bulan maut bot terbalik
Insiden bot terbalik di Pulau Tioman
PULAU TIOMAN -Seorang bayi lelaki maut selepas bot dinaiki bersama keluarganya dipukul ombak dalam kejadian di Teluk Berus, Pulau Tioman, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Ahmad Aiden Muslim, berusia tujuh bulan dipercayai lemas selepas bot fiber yang dinaikinya bersama 14 penumpang lain karam.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kesemua mereka ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kampung
Tekek selepas berhari raya di Kampung Salang.

“Dalam perjalanan, bot dimasuki air selepas dipukul ombak kuat sebelum terbalik. Akibatnya, kesemua penumpang terpaksa berenang menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainul Mujahidin berkata, dalam keadaan panik, bayi yang berada dalam dakapan ahli keluarganya dipercayai terlepas sebelum hilang selama 12 jam.

“Mayat bayi itu ditemui dalam keadaan terapung berhampiran Teluk Berus, Kampung Penuba Air Batang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Klinik Kesihatan Tekek sebelum dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian berasingan, mayat seorang warga Indonesia, Endang Andar Wati, 30, ditemui terapung selepas dikatakan lemas ketika sedang mandi- manda bersama keluarganya di Pantai Kampung Salang, di sini, petang kelmarin.

Zainul Mujahidin berkata, mangsa yang beralamat di Felda Jengka 7,  berkahwin dengan lelaki tempatan disedari hilang oleh ahli keluarganya selepas mandi di pantai berkenaan.

“Mayat mangsa ditemui terapung oleh ahli keluarganya kira-kira jam 5 petang hari yang sama,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...