Monday, August 13, 2012

Sambut Aidilfitri di tirai besi kerana mercun

Sambut Aidilfitri dalam tirai besi kerana mercun
Mohd Firdaus dibawa keluar dari mahkamah selepas dikenakan hukuman penjara hari ini
KUALA TERENGGANU- Hanya kerana 48 butir mercun, seorang petani terpaksa menyambut hari raya dalam tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas Mohd Firdaus Mat Daud, seorang petani berusia 23 dari Kampung Tok Ajam, Pasir Puteh, Kelantan, mengaku salah memiliki 48 butir mercun berbentuk bujur dalam sebuah kereta Proton Saga di Kampung Darat, Batu Rakit di sini, kira-kira jam 11.30 malam, 2 Ogos lalu.

Mohd Firdaus mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, polis yang sedang melakukan sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 11.30 malam, 2 Ogos lalu ternampak sebuah kereta yang lari dari sekatan jalan raya.

Polis kemudian mengekori kereta berkenaan dan berjaya menahan tertuduh di Kampung Darat, Batu Rakit di sini.

Pemeriksaan terhadap tubuh tertuduh tidak menemui sebarang barang salah, sebelum polis yang menjalankan pemeriksaan terhadap kereta Proton Saga dinaikinya menemui satu plastik cerah yang mengandungi 48 butir mercun di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Tertuduh kemudian ditahan sebelum mercun dan kereta dirampas untuk siasatan lanjut.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...