Wednesday, August 15, 2012

Tilam buruk tersorok syabu RM1 juta

tokan ais
anggota polis dengan Unit Anjing Pengesan memeriksa bot yang ditahan di Kuala Sungai Klang, Pelabuhan Klang semalam.
PELABUHAN KLANG – Sekilas pandang, sebuah bot tukar barang dilihat sekadar membawa muatan tilam buruk untuk dijual di Indonesia, namun siapa sangka pemeriksaan pihak berkuasa di bilik enjin bot tersorok syabu bernilai hampir RM1 juta.

Taktik licik sindiket dadah antarabangsa itu terbongkar pada pukul 6.30 pagi semalam ketika Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menahan sebuah bot di Kuala Sungai Klang di sini.

Semasa ditahan bot tersebut dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.

Selain merampas hampir lapan kilogram syabu yang diisi dalam empat bungkusan plastik berwarna merah jambu, PPM turut menahan seorang tekong dan dua orang awak-awak warga Indonesia berusia antara 41 hingga 60 tahun.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama sebulan sebelum menahan bot yang disyaki tersebut.

Menurut beliau, bot dari negara jiran itu dipercayai memasuki negara ini melalui Pelabuhan Klang sebelum singgah di sebuah jeti yang tidak boleh didedahkan sejak empat hari lalu tanpa membawa muatan.

“Selama empat hari bot tersebut diisi dengan muatan tilam terpakai bagi mengaburi pihak berkuasa namun dalam perjalanan pulang bot tersebut ditahan pihak berkuasa,” kata beliau pada sidang akhbar di Pangkalan PPM sini.

Semasa ditahan bot tersebut dinaiki tiga lelaki termasuk seorang tekong.

“Empat bungkusan syabu ditemui disembunyikan di bawah tangki minyak di bahagian enjin bot,” kata beliau.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...