Wednesday, August 15, 2012

Parah mercun dijemur meletup

Parah mercun dijemur meletup
Parah mercun dijemur meletup
Parah mercun dijemur meletup
Mangsa dibawa ke HPRZII untuk rawatan lanjut.
PASIR MAS – Seorang lelaki yang menjemur mercun bola di hadapan rumahnya di Kampung Paloh, Chicha Tinggi dekat sini, cedera parah kedua-dua matanya apabila bahan letupan itu meledak secara tiba-tiba, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku ketika Mohd Azrin Hadi, 22, cuba meratakan sebungkus mercun basah akibat terkena hujan di atas guni yang diletakkan di atas rumput di kawasan lapang di rumahnya.

Cuaca panas menyebabkan kesemua kira-kira 50 biji mercun bola itu meletup serentak dan percikannya terkena mata, badan serta kaki mangsa.

Jarak mangsa dengan bahan letupan yang cuba diratakan itu agak dekat menyebabkan percikan bunga api dari mercun itu terus terkena matanya sebaik meletup.

Bapa mangsa, Hadi Ismail, 44, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga akibat bunyi letupan.

Menurutnya, sebaik terdengar letupan berkenaan, dia  berlari ke luar rumah.

“Saya  bergegas keluar dan terkejut melihat muka serta badan anak dipenuhi darah dan terus membawanya ke hospital.

“Sehingga kini saya tidak tahu sejauh mana kecederaannya, yang pasti kedua matanya cedera,” katanya di pekarangan Hospital Daerah Pasir Mas, petang semalam.

Hadi berkata, letupan kuat turut menyebabkan telinganya berdengung walaupun selepas satu jam kejadian.

Anak kedua daripada tujuh beradik yang sudah berkahwin itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...