Tuesday, September 18, 2012

Maut di tangan rakan

Maut di tangan rakan
Mayat Myo Thu dijumpai terlentang di belakang kilang tersebut selepas ditikam oleh rakan senegaranya.
TANJUNG RAMBUTAN – Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam oleh rakan senegaranya menggunakan sebilah pisau dalam pergaduhan di sebuah kilang batu di Jalan Bercham, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Myo Thu, 30an ditikam di bahagian dada sebelah kiri selepas berlaku salah faham.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakannya sedang makan dan minum arak di kilang itu sebelum didatangi tiga lelaki lain yang dipercayai sebagai rakan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketika ditemui, mayat berada dalam keadaan berlumuran darah dan terlentang.

“Mangsa bersama enam rakan termasuk tiga suspek dilaporkan makan dan minum di kilang tersebut pada jam 10 malam.

“Pertengkaran berlaku dan salah seorang suspek telah mengeluarkan pisau dan menikam mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tiga rakan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala baki tiga lagi kawan mangsa telah melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain mempunyai slip pendaftaran pendatang tanpa izin (Pati).

“Unit anjing pengesan dikejarkan ke tempat kejadian. Dipercayai, suspek mengenali mangsa dan usaha mengesan ketiga-tiga mereka sedang dilaksanakan,” katanya.

Menurut Mohd Dzuraidi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...