Tuesday, September 18, 2012

Letupan dari petrol tumpah

Letupan dari petrol tumpah
Song Cheng bersama penduduk di lokasi kejadian.
JOHOR BAHRU – Tindakan dua jiran dari rumah pangsa Bandar Selesa Jaya, dekat sini, untuk membakar longgokan sisa pepejal di tempat pembuangan sampah membawa padah apabila berlaku letupan kecil yang mencederakan salah seorang daripada mereka.

Kejadian sekitar jam 7.30 petang kelmarin itu berlaku apabila minyak petrol yang digunakan untuk membakar sisa pepejal terbabit terlepas dari genggaman seterusnya terjatuh ke dalam corong saluran pembuangan sampah seterusnya menghasilkan api marak dan letupan sehingga menggemparkan penduduk Blok 6 rumah pangsa itu.

Letupan itu juga menyebabkan salah seorang daripada jiran terbabit, A Rahim Arshad, 59, terjatuh dari tangga dan menyebabkannya mengalami kecederaan pada tangan serta kaki selain dadanya dihempap serpihan dinding batu yang pecah kerana kejadian berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Addie Mohd Kamal, 37, berkata, dia bersama Rahim sepakat untuk membersihkan longgokan sampai yang sudah terbiar tanpa dikutip oleh pihak bertanggungjawab sejak Julai lalu.

Menurutnya, oleh sebab terlalu banyak sampah yang kian menimbun saban hari, mereka berhasrat untuk membakar sahaja sisa pepejal itu sebagai jalan mudah melupuskan semua sampah berkenaan.

“Kami mula melakukan kerja pembersihan di tempat pembuangan sampah sekitar jam 4.30 petang dan tidak melibatkan jiran-jiran yang lain di bangunan blok ini. Inisiatif untuk membersihkan sampah yang semakin menimbun ini adalah untuk mengelakkan daripada sebarnya wabak penyakit berjangkit seperti taun atau denggi.

“Segalanya dilakukan dengan perancangan rapi dan kami bakar sampah dari tingkat ke tingkat bangunan. Bagaimanapun, ketika sedang meninjau keadaan corong saluran pembuangan sampah, botol berisi minyak petrol di tangan Rahim terjatuh sekali gus menyebabkan api marak secara tiba-tiba diikuti letupan kecil.

“Ketika saya segera ke tingkat tiga untuk melihat keadaan Rahim, saya melihat dia sudah terbaring dengan kesan cedera selain dadanya dihempap serpihan dinding batu bangunan. Bimbang dengan keselamatannya, saya segera membawanya ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng yang meninjau lokasi kejadian, di sini, semalam.

Letupan dari petrol tumpah
A Rahim menunjukkan kakinya yang cedera.
Mohd Addie berkata, dia berasa lega apabila doktor mengesahkan Rahim tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun berasa bertanggungjawab ke atas keselamatan jirannya itu dan penduduk lain yang terkejut dengan kejadian berkenaan.

“Mungkin ada hikmah yang berlaku. Kami di sini, sepatutnya bekerjasama membersihkan sisa pepejal yang dibuang ke dalam tong disediakan sekali gus tidak menggunakan lagi corong saluran dan tempat pembuangan sampah ini.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan saya berasa lega apabila diberitahu Rahim tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Bagi Rahim, kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan dia terpaksa menerima tiga jahitan di tangan dan lapan jahitan di kaki menjadi pengalaman pahit sukar dilupakannya.

“Ketika api marah dan letupan berlaku, saya melambung dan jatuh berguling dari tingkat empat ke tingkat tiga bangunan. Lebih malang, serpihan batu bangunan yang menutup corong saluran pembuangan sampah ini menghempap dada selain beberapa kecederaan kerana kejadian ini.

“Tiada apa yang bermain dalam fikiran saya kecuali nekad menolak serpihan batu di dada dan menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Song Cheng berkata, selaku wakil rakyat kawasan, dia akan membantu dengan mengeluarkan perbelanjaan bagi menutup corong saluran berkenaan bagi mengelakkan ia terus digunakan oleh penduduk.

“Saya mahu penduduk di rumah pangsa ini menggunakan tong sampah yang disediakan. Corong saluran yang menghubungkan tempat pembuangan sampah ini akan ditutup.

“Mengenai apa yang berlaku, mereka (Mohd Addie dan Rahim) bertindak betul mahu membersihkan sampah yang berlonggok dan saya tidak marah mereka. Bagaimanapun cara diambil salah sehingga membahayakan keselamatan diri,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai masalah longgokan sampah, beliau berkata, tanggungjawab mengutip sampah kini di bawah tanggungjawab Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan bukannya SWM Environment Sdn Bhd (SWM).

“Dulu memang SWM yang bertanggungjawab mengutip sampah di rumah pangsa ini, namun mereka kini hanya akan kutip sampah di dalam tong yang mereka sediakan sahaja. Oleh itu, jika penduduk buang di tempat pembuangan sampah, maka masalah longgokan ini akan berlaku.

“Saya meminta kerjasama penduduk supaya membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan. Janganlah mengambil mudah sahaja sehingga kelak menyusahkan diri,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...