Tuesday, September 18, 2012

Suspek larikan 43 komputer riba 1Malaysia dicekup

netbook 1 Malaysia

MIRI: Dua lelaki dipercayai terbabit melarikan 43 komputer riba 1Malaysia dan pelbagai barangan berharga dari rumah Timbalan Menteri, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Jacob Dungau Sagan, di sini, ditahan polis, semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 40-an itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah di Taman Holiday Park dan Grand Park, antara jam 3 hingga 5.30 pagi.

Sumber berkata, penahanan suspek pertama membolehkan polis menemui seunit komputer riba 1Malaysia, projektor, seutas jam tangan yang diletakkan di bilik tidur lelaki itu.

Katanya, suspek yang sedang tidur terkejut dengan kehadiran polis dan cuba melawan, tetapi dapat ditahan sebelum dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal terhadap suspek membawa kepada penangkapan seorang lagi rakannya dipercayai menjadi dalang merancang kegiatan memecah masuk rumah timbalan menteri berkenaan.

“Setakat ini, seorang suspek mengaku terbabit dalam kes itu sebelum menjual barangan dicuri kepada pelanggan pada harga serendah RM250 seunit.

“Kami juga menjangka akan mendapat semula sekurang-kurang lima hingga 10 komputer riba 1Malaysia yang dicuri dan dijual kepada beberapa pelanggan termasuk sebuah syarikat kewangan berlesen dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati, seorang suspek adalah penjenayah tegar dan mempunyai rekod kesalahan lampau kerana giat melakukan pecah rumah di sekitar bandar ini sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, sebelum ini, setiausaha timbalan menteri berkenaan membuat laporan polis selepas menyedari rumah di Jalan Lim Chee Hian, dipecah masuk ketika membuat pemeriksaan, pada jam 3 petang, 4 September lalu.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...