Thursday, September 6, 2012

Pemandu bas didenda RM1,000 miliki senjata berbahaya

cara sembelihan mengikut syariat
gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu bas didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dua senjata berbahaya, minggu lepas.
   
Majistret Amal Razim Alias turut memerintahkan Muhammad Asyraf Nordin, 22, menjalani hukuman penjara dua minggu jika gagal membayar denda itu. Dia menjelaskan denda itu.
   
Muhammad Asyraf yang tinggal di Jalan Mega Mendong Kompleks Bandar di sini didakwa memiliki dua senjata berbahaya iaitu sebilah pisau berukuran lebih kurang 12 inci (30.48cm) panjang, hulunya berwarna celoreng hijau berserta sarung warna sama dan sebilah pisau berukuran lapan inci (20.32cm) di tempat awam dan tanpa kebenaran yang sah.
   
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Walter Grenier, Dang Wangi di sini pada 10.30 malam 29 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
   
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota polis dari balai polis Dang Wangi membuat pemeriksaan ke atas kereta milik tertuduh dan menjumpai dua bilah pisau berkenaan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.
  
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh namun peguam Nur Ain Jaafar yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda kerana kesalahan itu adalah kesalahan pertama tertuduh.
   
"Sehari sebelum tertuduh ditangkap, dia baru balik dari 'jungle tracking' dan barang tersebut (dua pisau) masih berada di dalam kereta dan belum dikeluarkan lagi," katanya yang turut memohon maaf di atas kecuaian anak guamnya itu.
   
Di mahkamah sama, seorang peniaga mengaku tidak bersalah memiliki dua bilah parang panjang berukuran lebih kurang 1.5 kaki (45.72cm) berserta sarung dan sebilah pisau pemotong sayur.
   
Mohammad Harez Daniel Chen Abdullah, 47, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik di My Home Hotel, Jalan 10/116B Kuchai Entreprenuers Park, Jalan Kuchai Lama, Brickfields, di sini pada 10 malam 31 Ogos lepas.
   
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
   
Amal Razim membenarkan Mohammad Harez Daniel Chen diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Sept untuk sebutan.

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...