Saturday, September 15, 2012

Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang

gadis lembam hilang
Umar Ali menunjukkan gambar mangsa yang hilang sejak 21 Ogos lalu.
ALOR GAJAH  – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menjejaki seorang gadis lembam, A Vantha, 16, yang dilaporkan hilang selepas tiga hari tinggal bersama ibu saudaranya di sebuah taman, di sini, 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bapa mangsa, K Annandan, 37, menghantar mangsa pada 18 Ogos lalu untuk tinggal bersama ibu saudaranya, R Sarida, 25, di taman berkenaan.

Difahamkan, kehilangan mangsa yang juga anak sulung daripada lapan beradik itu turut dikaitkan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Bulat.

“Mangsa dihantar ke rumah ibu saudaranya di sebuah taman di sini pada 18 Ogos lalu kerana mangsa bekerja di sebuah kedai di kawasan kilang solar di Rembia sebelum disedari hilang kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Ogos.

“Kehilangan mangsa disedari ibu saudaranya yang ketika itu sibuk menguruskan bapanya yang terlantar sakit sebelum didatangi majikan mangsa yang menjemputnya di rumah setiap hari," katanya.

Menurutnya, ibu saudara mangsa terkejut kerana menyangka mangsa keluar awal dijemput majikannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

"Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masih menuntut di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Jasin, keluar rumah sehelai sepinggang.

“Mangsa keluar dengan hanya membawa dompet berisi MyKad," katanya.

Umar Ali berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi dijawab seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada bersamanya.

"Berdasarkan siasatan, nombor telefon bimbit mangsa masih digunakan dan dikesan di sekitar Kuala Sungai Baru," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat mangsa, diminta segera menghubungi Inspektor Shuhaida Mohd Idris menerusi talian 06-5562222.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...