Friday, October 5, 2012

Jalan lubang didakwa punca bekas pemimpin Cuepacs koma

Bahardin Mohd Sohor
Bahardin kini koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Gara-gara jalan rosak tidak dibaik pulih, bekas Naib Presiden  Cuepacs, Bahardin Mohd Sohor, 67, koma sejak seminggu lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Lestari Perdana Fasa 1, Seri Kembangan  28 September lalu.

Kejadian  jam  8.30 malam itu berlaku apabila Bahardin terhumban ke atas jalan selepas motosikal Yamaha Lagenda yang ditungganginya terperosok ke dalam lubang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Puncak Jalil.

Mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang dan terpaksa menjalani pembedahan mata selain disahkan mengalami patah tulang rusuk dan mempunyai darah beku di otak.

Menurut anaknya, Izwan Bahardin, 34, kes ayahnya kemudian dirujuk di Wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum satu pembedahan dijalankan bagi membuang darah beku di otak dan paru-paru.

“Saksi memberitahu ayah yang menunggang  perlahan tiba-tiba  tercampak dan mukanya tersembam di atas jalan sebaik motosikalnya terlanggar lubang berikutan lampu jalan yang ada tidak berfungsi,” katanya.

Izwan berkata,  sehingga kini ayahnya terpaksa menerima bantuan pernafasan dan makan melalui tiub berikutan kecederaan yang dialaminya agak serius.

“Mujur ketika kejadian tiada kenderaan lain mengekorinya dari belakang  jika tidak keadaan pasti lebih buruk dari ini saya kesal kerana  lubang yang wujud di jalan ini  tidak dibaik pulih meskipun aduan pernah dibuat penduduk beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam  mendapati keadaan jalan tidak  rata dan berlubang teruk sepanjang  20 meter.

Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal pernah berlaku sejak dua bulan lalu di jalan itu namun tiada sebarang usaha daripada pihak berwajib untuk menurapnya.

“Saya harap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera kerana kami mahu menuntut sejumlah pampasan rawatan perubatan ayah kerana kejadian ini berlaku disebabkan keadaan jalan yang tidak diselenggarakan dengan baik," katanya.

Susulan kejadian, dua  laporan polis  telah dibuat di Balai Polis Trafik Serdang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias mengesahkan menerima laporan dan siasatan mendapati mangsa tidak sedar kewujudan jalan yang  berlubang di situ berikutan keadaan kawasan agak gelap.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika dihubungi akan menyiasat dakwaan itu dan akan memberi maklum balas dalam waktu terdekat berhubung kejadian yang berlaku.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...