Thursday, October 4, 2012

Lagi kes bayi maut tersedak susu

Ho Zi Xin
Mayat Zi Xin dibawa masuk ke dalam van oleh pengurus pengebumian untuk dibawa ke rumahnya di Menglembu.
IPOH - Tidak sampai 24 jam insiden tersedak susu yang meragut nyawa seorang bayi berusia sebulan di Taman Perling, Johor, kejadian yang sama turut menimpa seorang bayi perempuan di Taman Rishah, Menglembu, di sini, awal pagi semalam.

Ho Zi Xin, yang baru berusia dua bulan, disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) untuk mendapatkan rawatan.

Seorang anggota keluarga yang enggan dikenali berkata, kejadian itu hanya disedari ibunya kira-kira jam 1 pagi semalam selepas melihat wajah mangsa berubah menjadi pucat dan tidak bergerak selepas diberi minum susu menggunakan botol.

“Sejurus melihat Zi Xin dalam keadaan tidak sedarkan diri, mereka segera membawanya ke unit kecemasan KPJ-ISH untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia beberapa minit selepas itu.

“Mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, setiap hari Zi Xin dihantar kepada pengasuh berhampiran rumah mereka pada waktu siang memandangkan ibu bapa bayi itu bekerja.

“Pada sebelah malam, mereka akan membawanya pulang ke rumah dan menjaga anak bongsu daripada empat adik beradik itu. Ia adalah rutin harian mereka pada hari bekerja,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke pekarangan Jabatan Forensik HRPB mendapati bapa mangsa berada dalam keadaan sedih dan enggan ditemu bual.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, laporan bedah siasat pihak hospital mengesahkan bayi itu maut disebabkan susu yang diminumnya memasuki paru-paru ketika sedang tidur sehingga menyekat saluran pernafasan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau kecuaian ditemui pada mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

sumber- Sinar

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...