KOTA BHARU- Akibat merogol bekas kekasih tiga tahun lalu di Machang, seorang remaja menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Azroy Azhar, 21,membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan hakim, Azman Mustapha selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.
Muhamad Azroy yang berasal dari Machang itu, dituduh merogol bekas kekasihnya yang ketika itu berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Burok, Batu 30, Machang kira-kira jam 8 malam pada 8 Februari 2009.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Muhamad Azroy tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam. |
Muhamad Azroy yang mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan itu, hadir ke mahkamah tanpa melantik peguam semalam .
Turut hadir ke mahkamah adalah ahli keluarganya sendiri.
Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Ahmad Salam Yusof yang mengendalikan kes tersebut memohon tarikh untuk sebutan pengurusan kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 19 November ini untuk sebutan pengurusan kes.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment