TUMPAT – Sebelas sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Kok Keli dekat sini, hangus dalam kebakaran tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal milik keluarga terbabit.
Mangsa, Noraizan Abdullah, 38, berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila terlihat asap tebal dari salah satu bilik tidur anaknya, selepas dia selesai membasuh pakaian di bilik air.
“Selesai membasuh, saya naik ke atas rumah tetapi dikejutkan dengan kepulan asap tebal dari bilik tidur anak.
“Pada masa sama saya nampak api mulai marak membakar kelambu dan dinding rumah,” katanya yang mempunyai sembilan anak.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di rumah Norizan, turut terbakar kereta dan motosikal miliknya. Gambar kecil : Noraizan. |
Menurutnya, dia yang dalam keadaan panik cuba memadamkan api di bilik tersebut dengan menyimbah air yang diangkut dengan baldi.
Katanya, sambil cuba memadamkan kebakaran dia juga sempat memeriksa semua empat bilik tidur khuatir ada yang terperangkap kerana seorang anaknya, Mohd Hisyam, 12, tidak ke sekolah.
“Mujur ketika kebakaran itu Mohd Hisyam keluar ke rumah kawannya, manakala tiga anak saya yang berusia tiga tahun, enam dan 16 bulan sedang bermain di halaman rumah.
“Lima anak yang lain berusia 17 hingga lapan tahun ke sekolah,” katanya.
Menurutnya, apabila api semakin marak dia terpaksa keluar menyelamatkan diri sehelai sepinggang bersama anak-anaknya.
Noraizan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kereta yang di parkir di halaman rumah kerana ketika kejadian itu, suaminya, Che Ibrahim Abah, 49, keluar ke kolam itiknya di Kampung Kutan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Zakaria Hussien berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari.
“Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.20 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM73,000, apabila motosikal dan kereta mangsa turut terbakar,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment