Friday, November 9, 2012

Homestay Pelacuran

TELUK INTAN - Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan berjaya menghidu kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik perusahaan rumah inap desa (homestay) di Taman Bunga Raya, Jalan Sultan Abdullah, di sini.

Sehubungan itu, satu serbuan telah diadakan pada jam 12.55 malam oleh sepasukan anggota Imigresen Cawangan Teluk Intan di premis terbabit, malam kelmarin dan berjaya menahan empat wanita warga Vietnam kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.

pelacur Vietnam
Khairul Anuar (kanan) memerhati empat wanita Vietnam yang ditahan.
Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman memaklumkan, keempat-empat wanita itu berusia di antara 22 hingga 32 tahun ditahan setelah didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Semua yang ditangkap dibawa ke Pejabat Imigresen Teluk Intan bagi membantu siasatan. Kita turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana dipercayai menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran serta melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan, lelaki yang enggan memberi kerjasama semasa serbuan itu ditahan reman di bawah Seksyen 5(6)(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala empat wanita Vietnam didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(d) akta sama.

"Mereka ditahan reman selama 14 hari di Pusat Tahanan Imigresen Langkap bagi membantu siasatan dan kami turut mendapat perintah tahan daripada Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk lelaki terbabit mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Kita mendapati rumah inap desa ditukar menjadi pusat pelacuran, menjadi trend sekarang ini dalam usaha mengelak daripada ditahan pihak berkuasa," katanya.

Katanya, siasatan awal turut mendapati rumah inap desa berkenaan pernah melakukan kesalahan sama serta pernah diserbu pada 25 April lalu yang mana dua wanita Vietnam bersama seorang wanita China melakukan kegiatan pelacuran dan kini menjalani hukuman penjara.

"Saya beri amaran kepada mana-mana pengusaha rumah inap desa, bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati menjalankan kegiatan pelacuran dan kita sedang mengesan mana-mana pemilik yang menjadikan rumah mereka sarang kegiatan tidak bermoral itu," tegasnya.

sumber- Sinar

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...