Friday, November 2, 2012

Lori padi terbabas, empat maut

ALOR SETAR – Empat beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau dekat sini semalam.

Mangsa yang maut ialah pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Nurul Faiz, 24, dan Mohd. Iptihar, 26.

Kemalangan Pokok Sena
MAYAT empat sekeluarga mangsa kemalangan ditutup dengan kertas surat khabar di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau, Pokok Sena, Alor Setar semalam.
Anak bongsu mereka, Mohd. Iqbal, 15, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Lokasi kemalangan terletak kira-kira enam kilometer dari rumah keluarga mangsa di Kampung Kubang Pisang, Pendang.

Kejadian pada kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika keluarga malang itu dalam perjalanan untuk menziarah keluarga mereka di sini dengan menaiki kereta Perodua Viva dari arah Pendang menghala ke Kebun 500, Pokok Sena.

Bagaimanapun, ketika melalui tempat kejadian, sebuah lori padi tanpa muatan dari arah Kebun 500 dipercayai mengalami kerosakan stereng dan brek lalu terbabas dan bertembung dengan kereta tersebut yang dipercayai dipandu Mohd. Iptihar.

Dalam pada itu, anak kedua mangsa, Mohd. Anuar Shafie, 32, menjelaskan, dia yang berada di Jabi berasa tidak sedap hati apabila ternampak dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500.

Dia kemudian segera pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Pisang, namun sebaik dia tiba di tempat kejadian, perasaan tidak sedap hatinya menjadi kenyataan apabila kereta yang terbabit kemalangan itu adalah milik bapanya berdasarkan nombor pendaftaran KCS 396.

“Masa saya tiba, kesemua mereka sudah tidak ada lagi di tempat kejadian dan orang ramai meminta saya pulang ke rumah untuk membuat kepastian.

“Bila saya tiba di rumah, itulah kenyataan apabila empat ahli keluarga meninggalkan kami sekali gus tetapi saya tetap reda dan pasrah,” katanya.

Dia menjelaskan, ibu bapanya ada mengunjungi rumahnya di Guar Kepayang, Pendang bagi menziarahi dua cucunya yang berusia lima dan setahun.

“Mereka datang ke rumah kira-kira pukul 10 malam kelmarin untuk melihat cucu tetapi mereka sudah tidur.

“Ibu dan bapa saya kurang bercakap dan tidak duduk lama sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian,” katanya yang bekerja sebagai buruh di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sementara itu, menurut anak ketiga mangsa, Mohd. Fashah, 28, kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kubang Pisang malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Rohana Omar mengesahkan kemalangan berlaku apabila lori terbabit yang mengalami kerosakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki lima beranak tersebut.

“Akibat pertembungan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian dan mayat kesemua mereka dihantar ke HSB.

“Pemandu lori dipercayai hanya mengalami cedera ringan dan dia ke balai polis untuk diambil kenyataan,” katanya.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...