Friday, November 2, 2012

Simpan pistol, buat bom

GEORGE TOWN – Kegiatan tiga penjenayah berbahaya yang paling dikehendaki polis negeri ini kerana memeras ugut ahli perniagaan menggunakan senjata api, peluru dan bom tangan buatan sendiri bagi memperoleh wang terbongkar apabila kesemuanya diberkas kelmarin.

Kesemua samseng berusia lingkungan 30-an tersebut diberkas pada pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Taman Damai, Padang Serai, Kedah hasil maklumat dan risikan terperinci yang dilakukan polis sejak setahun lalu.

ABDUL RAHIM melihat mercun, bom buatan sendiri, pistol, dan bebola besi yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di George Town semalam.
Polis yang menggeledah rumah mereka menemui pelbagai jenis senjata api dan bahan membuat bom seolah-olah penjenayah ingin memberitahu yang mereka mampu bertindak ganas pada bila-bila masa.

Antara yang ditemui sepucuk pistol semi automatik buatan sendiri, lapan butir peluru, empat bom tangan buatan sendiri, tiga bungkus bebola besi dan 35 biji mercun bola.

Turut dirampas ialah lapan buah telefon bimbit dan sebuah kereta curi jenis Proton Waja.

Difahamkan, penjenayah tersebut tidak mempunyai kepakaran tertentu mengenai letupan tetapi memiliki pengetahuan untuk membuat bom menggunakan bebola besi dan petrol.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, modus operandi penjenayah ialah akan memeras ugut ahli perniagaan dengan cara menghantar peluru hidup atau mencampakkan bom tangan buatan sendiri yang tidak dihidupkan ke laman rumah mangsa sebagai amaran.

Katanya, suspek kemudian akan membuat panggilan telefon kepada mangsa dan meminta wang sekurang-kurangnya RM500,000 jika tidak mahu diapa-apakan.

“Setakat ini, polis telah menerima enam laporan daripada ahli perniagaan di sekitar Seberang Perai mengatakan mereka diperas ugut penjenayah sejak Mac 2011 menggunakan modus operandi yang sama.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami kerugian dan tidak membuat bayaran kerana mereka terus membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Tambahnya, walaupun kesemua mangsa tidak diapa-apakan, pihaknya menganggap ketiga-tiga penjenayah yang berasal dari Kedah itu sebagai sangat berbahaya dan dikehendaki kerana memiliki senjata api dan bahan letupan.

Menurut Abdul Rahim, kesemua suspek yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, 1960 dan 1957 kerana memiliki senjata api dan bahan letupan serta Seksyen 36 akta sama atas kesalahan memiliki senjata api palsu. Sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta enam sebatan atau denda RM10,000.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...