Monday, November 12, 2012

Menyamar orang tua untuk rompak

Miles Alura

LONDON: Seorang pelajar berusia 16 tahun menggunakan mekap dan memakai rambut palsu untuk menyamar sebagai orang tua untuk melakukan rompakan bersenjata.

Dengan berpakaian seperti lelaki tua, Miles Alura merompak sebuah kedai emas di Kent, Julai lalu, dan melarikan barang kemas berharga 50,000 pound (RM243,375). 
Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya. 

Menurut polis, Alura, memakai rambut palsu ketika merompak sebuah kedai emas Mayfair di London, sebulan sebelum itu dan melarikan barang berharga 100,000 pound (RM486,750).

Dalam dua kejadian itu, dia dan beberapa rakan mengugut staf dengan senjata api mainan sebelum mengikat mereka dan melarikan diri.

Untuk menyamar lelaki tua, Alura memakai topi, mewarnakan kening, memakai janggut palsu, menipiskan rambut dan bermekap, sekali gus mengingatkan seseorang kepada penyamaran seperti dalam siri kartun Scooby Doo. 

Alura yang berasal dari Camden Road, London, dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Kingston selepas dia mengaku bersekongkol untuk merompak. 

Dia turut dikenakan hukuman dua setengah tahun penjara kerana memiliki senjata api mainan dan lima tahun penjara kerana merompak. Semua hukuman itu berjalan serentak. 

Seorang lagi remaja berusia 16 tahun dari Stoke Newington, London, dipenjara tiga tahun kerana merompak, bersekongkol untuk merompak, manakala remaja ketiga berusia 15 tahun dari Holloway, London, dijatuhkan hukuman tahanan setahun dan arahan menjalani latihan. 

Nama kedua-dua rakan Alura itu tidak boleh didedahkan kerana faktor usia. 

sumber- DM

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...