Berbaring dalam keranda mungkin merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan boleh mendatangkan trauma bagi kebanyakan orang. Sebuah pusat psikoterapi khas di Shenyang, China, menjadikan pengalaman berbaring dalam keranda sebagai terapi untuk merawat masalah psikologi dan tekanan berat.
Sebuah akhbar China melaporkan lebih 1,000 pesakit telah 'dilahirkan semula' selepas dilakukan simulasi kematian. Tang Yulong, pakar di pusat psikologi tersebut berkata, seseorang yang menderita akibat masalah psikologi boleh dibantu dengan simulasi kematian.
Pesakit akan dimasukkan ke dalam bilik yang disediakan khas, kemudian disuruh menulis kata-kata terakhir, lalu berbaring dalam keranda yang kemudiannya ditutup dengan kain putih. Bagi membuatkan suasana kematian lebih realistik, lagu pengebumian dipasang dalam bilik tersebut. Selepas lima minit, bunyi tangisan bayi akan memecah kesunyian. Pakar akan membuka semula keranda dengan bunyi muzik yang ceria. Kelahiran semula ini dilihat mampu membantu seseorang untuk meneruskan hidup baru.
"35 tahun yang lepas, saya bertungkus lumus mencari kemahuan saya seperti duit dan juga pangkat. Namun, selepas saya menjalani terapi tersebut, saya sedar apa yang saya mahu sebenarnya bukanlah rumah tetapi tempat tinggal," kata Huang, seorang pengurus yang menjalani terapi unik tersebut. Dia pernah cuba untuk membunuh diri sebanyak empat kali namun dia berjaya dihalang oleh keluarga dan kenalannya. Kini, selepas menjalani rawatan tersebut, dia telah meminta untuk diturunkan pangkat dan telah terlibat dengan pelbagai badan amal untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
"Terapi ini adalah cadangan yang digunakan bagi rawatan psikologi. Walaubagaimanapun ia adalah satu dari psikoterapi dan tidak sesuai untuk semua orang. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja dibenarkan merasai terapi kematian ini," kata Tang.
0 comments:
Post a Comment