Monday, July 2, 2012

Bayar guna cek tendang

KOTA BHARU: Sebuah syarikat telekomunikasi kerugian RM336,800 selepas diperdaya dua individu berhubung urus niaga kad prabayar dalam kejadian di Pasir Tumboh, dekat sini, pada 21 Jun lalu.

Dua individu itu dikatakan berjaya mempengaruhi pengurus syarikat telekomunikasi berkenaan untuk menjual 40,000 keping kad prabayar bernilai RM336,800, sebelum menyerahkan cek tendang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud (gambar), berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa pada 25 Jun lalu.

Katanya, tembelang suspek terbongkar selepas mangsa mendapati cek diterima hasil urus niaga membabitkan 40,000 keping kad prabayar bernilai RM336,800 adalah cek tendang.


“Mangsa cuba mendepositkan cek diterima di sebuah bank di sini, tetapi terkejut apabila mendapati cek berkenaan cek tendang. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal kerana suspek sudah menghilangkan diri.

“Selepas berasa ditipu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu, pada 25 Jun lalu,” katanya.

Menurutnya, dua suspek itu yang menggunakan nama Syed Mohd Salleh dan Fazilah Hasan, masing-masing berusia 30-an kini diburu bagi membantu siasatan.

sumber-HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...