Monday, July 2, 2012

Kari bakar rumah

PETALING JAYA: Jika tidak kerana tanggungjawab sesama jiran membantu memadam kebakaran, sudah pasti satu unit kediaman di Blok Dua, Apartmen Lagoon Perdana, Bandar Sunway, di sini, hangus apabila penghuninya melarikan diri sebaik kejadian, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, satu bilik dalam kediaman berkenaan di tingkat 14 dihuni lapan pekerja warga Bangladesh terbakar dipercayai akibat litar pintas selepas dapur elektrik dipasang untuk memasak gulai kari tidak dipadamkan.

Ini menyebabkan 10 jiran termasuk pengawal keselamatan bertungkus-lumus cuba memadam api dengan menyiram air menggunakan baldi dan menyembur dengan salur getah selepas tiga pekerja warga Bangladesh meninggalkan rumah itu akibat panik.

Menceritakan detik cemas itu, jurujual, Yap Chai Guan, 24, berkata dia hanya mengetahui kebakaran itu daripada seorang jiran tingkat atas apabila ternampak asap tebal dari beranda.

“Dua jiran terbabit mengetuk pintu rumah memaklumkan kediaman di depan rumah saya terbakar sebelum kami memaklumkan pihak pengurusan bangunan dan menghubungi bomba.


“Namun, khuatir melihat api semakin marak, kami sepakat memadam kebakaran itu tanpa menunggu bomba tiba,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan, ada tiga pekerja warga Bangladesh di rumah itu ketika kejadian, manakala rakan mereka belum pulang dari tempat kerja.

“Tiga warga Bangladesh bekerja di tapak pembinaan itu menyediakan hidangan makan malam apabila seorang terlupa memadam dapur elektrik selepas memasak gulai kari dan pergi mandi.
“Ini menyebabkan berlaku litar pintas daripada dapur elektrik itu dan mengakibatkan percikan api. Api kemudian menyambar kain dan menyebabkan kebakaran,” katanya.

Katanya, pekerja warga asing itu yang panik selepas melihat api marak berlari meninggalkan bilik yang terbakar itu dan cuba meminta bantuan penyelia mereka yang tinggal di blok bersebelahan.

“Ini kerana, mereka tidak tahu bagaimana menghubungi bomba atau pihak pengurusan bangunan kerana baru dua bulan menyewa di rumah itu.

“Mujur, kami cepat memadam kebakaran dan jika terlewat sedikit sudah pasti kediaman jiran lain turut terbakar,” katanya.

sumber-HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...