Monday, July 2, 2012

Pecah cermin 16 kereta

BUTTERWORTH: Penghuni Pangsapuri Bagan Bay Vista yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi bising sekitar jam 4 pagi sebelum pemeriksaan mendapati cermin 16 kereta yang diletakkan di tepi jalan pecah.

Difahamkan, penduduk terkejut dengan bunyi sistem penggera kereta lalu bergegas keluar membuat pemeriksaan dan ada yang mendakwa ternampak dua lelaki sedang memecahkan cermin kereta.

Bagaimanapun dua lelaki terbabit sempat melarikan diri menaiki kereta yang dipandu rakan mereka sebaik kejadian disedari penduduk.

Peniaga, M Kumar, 42, berkata, dia tinggal di kampung berhampiran, tetapi meletak kereta Chery Eastar miliknya di tepi jalan berhampiran apartmen berkenaan.

Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan kebanyakan kereta yang diletakkan sepanjang jalan itu dipecahkan cermin sebelum bergegas keluar membuat pemeriksaan.



“Saya terkejut apabila mendapati lima cermin kereta termasuk depan dan belakang sudah pecah mengakibatkan kerugian kira-kira RM3,500.

“Saya meletak kereta di tepi jalan dekat Pangsapuri Bagan Bay Vista sejak setahun lalu, tetapi tiada sebarang masalah. Entah kenapa kereta saya menjadi sasaran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian, pengawal keselamatan yang menjaga apartmen berkenaan ternampak sebuah kereta memasuki kawasan itu sebelum keluar dua lelaki memakai penutup muka lalu memecahkan cermin kereta dengan objek keras.

Pengawal terbabit dikatakan cuba mengejar dua lelaki berkenaan, namun gagal sebelum menghubungi polis.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad, K Letchumanan, 42, berkata, dia kerugian RM1,000 apabila cermin dua keretanya turut dipecahkan.

“Saya hanya tahu mengenai kejadian sebaik pulang dari kerja jam 7 pagi tadi (semalam). Selain cermin tingkap kiri Naza Ria, cermin tingkap belakang Perodua Kelisa yang diletak berhampiran turut dipecahkan.

“Saya tidak tahu apa motif kejadian sedangkan sebelum ini tiada sebarang masalah dan bukan hanya kereta saya yang jadi mangsa,” katanya.

Penghuni pangsapuri, Ng Chin Mei, 42, berkata, kereta Proton Waja milik anaknya turut menjadi mangsa apabila cermin depan dan belakang dipecahkan.

“Saya sedang tidur sebelum dihubungi adik memaklumkan kejadian itu. Sebaik turun, saya dapati cermin kereta anak saya sudah pecah,” katanya.

Semua mangsa membuat laporan di Balai Polis Butterworth dan polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif kejadian.

sumber-HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...