Monday, July 9, 2012

Irina syaitan berskirt hitam

hantu susu
PEMBUNUH bersiri ini memberikan reaksi tenang sambil menundukkan kepala ketika hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya
.
IRINA GAIDAMACHUK hanya mampu menundukkan kepala ketika hakim mahkamah Yekaterinburg di barat Rusia menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun ke atasnya bagi kesalahan membunuh.

Dia ditahan pada Jun 2010 selepas pihak polis mendapati wanita berumur 41 tahun itu terlibat dalam beberapa episod pembunuhan bersiri melibatkan 17 wanita warga emas di sekitar kediamannya di pekan Ural yang terletak di kawasan pedalaman Krasnovfimsk, kira-kira 1,555 kilometer di barat daya Moscow.

Mengikut keterangan mahkamah, kesemua mangsa yang merupakan pesara kerajaan berumur antara 61 hingga 89 dibunuh secara kejam dengan menggunakan tukul besi dan kapak.

"Saya lakukannya demi wang. Saya hanya mahu menjadi ibu yang normal dan mempunyai keinginan untuk minum vodka.


"Namun, suami tidak pernah memberi saya duit untuk membelinya," akui Irina.

Ibu kepada dua anak itu mengaku, pembunuhan pertama yang dilakukannya ialah pada tahun 2002 manakala mangsa terakhir mati di tangannya pada Jun 2010.

Dalam tempoh lapan tahun tersebut, Irina menyamar sebagai pekerja sosial. Berbekalkan raut wajah yang manis, tidak sukar untuknya memperdaya mangsanya yang berumur antara 61 hingga 89 tahun.

Sasarannya, wanita tua yang kesepian dan tinggal sendirian. Irina memberitahu, dia memantau gerak-geri mereka sebaik sahaja mereka keluar dari rumah dan ikut ke mana mereka pergi.

"Saya juga memerhatikan kalau-kalau mereka mempunyai pelawat," akui Irina.

Selepas selesa dan yakin dengan pilihannya, dia kemudian mengetuk pintu rumah mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pekerja sosial yang menawarkan khidmat mengemas dan menghias rumah.

"Selepas dipelawa masuk ke rumah dan pintu ditutup rapat, tangan saya sudah bersedia untuk menarik keluar tukul besi atau kapak," katanya.

Jelasnya lagi, dengan sekali hayunan tepat, si mangsa biasanya akan terus rebah. Selepas itu, dia terus memukul kepala mangsa bertubi-tubi sehingga hancur.

Licik

Yakin mangsanya sudah mati, Irina menggeledah rumah mangsa untuk mendapatkan wang.

Begitupun, tindakan Irina mengekori dan membunuh kesemua mangsanya tidak padan dengan hasil samun yang diperoleh.

perempuan paling jahat di dunia
LAKARAN wajah dan tubuh Irina yang digambarkan saksi.

"Mereka hanyalah pesara kerajaan yang hidup di rumah flat usang.

"Saya pernah mendapat cuma 1,014 ruble (RM98) selepas membunuh," katanya yang mengakui hanya memperolehi 50,704 ruble (RM4,932) daripada 17 siri pembunuhan yang dilakukan dalam masa lapan tahun.

Selain itu, adakalanya pembunuh solo ini turut membakar rumah mangsanya untuk memusnahkan bukti.

Selepas beberapa siri pembunuhan serupa, kehidupan penduduk di pekan Ural mula dihantui ketakutan.

Pihak polis yang memulakan operasi memburu pembunuh bersiri pada tahun 2003 bingung dengan kelicikan penjenayah.

Melihatkan kesan bunuh yang begitu kejam, polis pada awal siasatan mengandaikan pelaku jenayah tersebut adalah lelaki.

"Hanya lelaki yang boleh menjadi sekejam ini untuk membunuh mangsanya dengan memukul kepala mangsa hingga hancur tengkoraknya," kata sumber polis.

Dalam siasatan kes pembunuhan bersiri tersebut, seramai 3,000 orang awam disoal siasat untuk mendapatkan petunjuk namun tidak berhasil.

"Ada beberapa individu yang disoal siasat memberitahu tentang rupa dan susuk tubuh pembunuh, namun ia hanya gambaran rambang.

"Kami muncul dengan teori kedua iaitu pembunuh adalah seorang lelaki yang berpakaian wanita. Malangnya, usaha menjejak penjenayah lebih sukar," katanya.

Kelicikan Irina bagaimanapun tidak kekal lama. Pada Jun 2010, dia ditangkap selepas pihak polis menerima maklumat daripada jiran-jiran mangsa terakhir yang dibunuhnya.

"Irina dikenal pasti sebagai orang terakhir yang ada bersama Alexandra Povaritsyna sebelum wanita berusia 81 tahun itu ditemui mati dalam keadaan yang sangat mengerikan.

"Berdasarkan lakaran wajah yang diberikan saksi, Irina ditahan untuk siasatan lanjut dan dia akhirnya mengaku menjadi orang bertanggungjawab membunuh kesemua mangsa kerana ingin membeli vodka," jelas sumber polis tersebut.

Penahanannya sangat mengejutkan keluarga dan teman-temannya.

"Selama 14 tahun hidup dengannya, saya tidak pernah melihat dia bertindak kejam walaupun ke atas haiwan.

"Saya tidak menyangka sama sekali dia boleh menghancurkan tengkorak 17 wanita tua miskin," ujar suami Irina yang dikenali sebagai Yury.

Salah seorang rakan Irina yang ditemu bual media tempatan mengambil masa yang agak lama untuk mempercayai hakikat bahawa teman baiknya adalah seorang pembunuh bersiri.

"Dia seorang ibu yang baik dan lemah-lembut. Dia sentiasa bersemangat untuk membantu rakan-rakan yang berada dalam keadaan memerlukan.

"Sukar untuk saya percaya Irina ialah pembunuh bersiri yang diburu polis sejak lapan tahun lalu," katanya.

Didakwa atas 436 kesalahan, Irina yang menjalani ujian psikiatri didapati waras dan kompeten untuk dibicarakan. Dia juga berfikiran waras semasa membunuh 17 mangsanya.

Semasa hadir ke mahkamah untuk sesi perbicaraan Januari tahun ini, dia menerima kutukan keras daripada orang ramai malah beberapa media tempatan menggelarnya sebagai 'syaitan berskirt hitam'.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...