Tuesday, August 21, 2012

20 tahun pakai mata batu

20 tahun pakai mata batu
Zaina menunjukkan mata batu (kanan) yang dipakainya.
KUALA KETIL - Seorang ibu tunggal yang mempunyai kecacatan penglihatan sejak lebih 20 tahun lalu tidak mengetahui terdapat bantuan kewangan bulanan yang dikhaskan golongan sepertinya selama ini.

Zaina Harun, 48, dari Kampung Jawa Batu 2, menggunakan mata batu di mata kanannya selepas terlibat dalam kemalangan ketika umurnya 12 tahun.

Keadaan itu membuat penglihatannya terbatas apabila hanya bergantung kepada mata kirinya sahaja.

Zaina yang juga ibu tunggal kini bekerja sebagai pembantu gerai makan bagi menyara kehidupan termasuk seorang anaknya yang masih bersekolah.

Menurutnya, dia sememangnya tidak mengetahui terdapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan sepertinya.

“Selama ini, saya memang tak tahu. Saya teruskan hidup seperti biasa. Nasib baik saya masih sihat dan mampu bekerja. Sekiranya tidak, kehidupan saya pasti lagi terhimpit,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaina berkata, dia bersyukur kerana masyarakat memahami keadaannya dengan membenarkannya untuk bekerja demi menyara kehidupannya bersama keluarga.

“Sekurang-kurangnya saya dapat meneruskan kehidupan bersama anak. Namun, tidak dinafikan, saya tetap risau sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini sehingga menjejaskan kesihatan saya,” katanya selepas menerima bantuan JKM kategori orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM300 sebulan.

Bantuan berkenaan disalurkan kepadanya selepas mendapat kerjasama pemimpin setempat dimaklumkan mengenai keadaan yang menimpanya selama ini.

Zaina berkata, dia tetap bersyukur kerana keadaannya tetap mendapat perhatian pemimpin setempat setelah lebih 20 tahun dia berhadapan keadaan itu.

“Saya terkejut kerana ada rakan-rakan saya yang mengatakan saya sebenarnya layak menerima bantuan kewangan pada setiap bulan.

“Kemudian, saya terus mengadu masalah itu kepada yang pihak berkenaan sebelum nama saya didaftarkan di bawah bantuan JKM,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Baling, Nazatul Iffah Abdullah berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk kebaikan mereka yang sepatutnya mendapat perhatian.

“Pemimpin di peringkat kampung perlu mengetengahkan masalah yang dihadapi penduduk kepada jabatan yang berkenaan. Sekurang-kurangnya akan dapat membasmi masalah keciciran bantuan ini,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...